Anwar bersyukur Thailand dan Kemboja kembali ke meja rundingan, bukan berperang

SHAH ALAM - Malaysia menyambut baik usaha kerajaan Thailand dan Kemboja kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan isu pertikaian sempadan yang mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah menghubungi rakan sejawatnya dari kedua-dua negara bagi menyatakan penghargaan terhadap komitmen mereka dalam menyelesaikan isu sempadan yang sedang berlaku melalui rundingan dan saluran diplomatik.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Malaysia amat menghargai hubungan baik bersama negara terlibat.
"Justeru, saya menyeru agar Thailand dan Kemboja terus mengamalkan sikap berhemah, mengambil langkah-langkah untuk meredakan ketegangan serta berusaha ke arah penyelesaian secara aman dan menyeluruh terkait situasi ini.
"Sebagai Pengerusi ASEAN, saya yakin semangat kerjasama serantau dan prinsip ASEAN mengenai penyelesaian secara aman dapat menjadi landasan kukuh dalam menangani sebarang pertikaian," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Thailand sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berperang dengan Kemboja, susulan ketegangan sempadan yang semakin memuncak melibatkan pertikaian wilayah di Ubon Ratchathani.
Jurucakap tentera Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree menegaskan, segala pergerakan pasukan bertujuan melindungi kepentingan negara, selaras dengan prinsip antarabangsa.
Beliau berkata, sebarang tuntutan wilayah secara unilateral oleh Kemboja tidak mempunyai kesahihan antarabangsa kerana kedua-dua negara bersetuju menyelesaikan isu sempadan melalui Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).
Suvaree berkata, Kemboja menuntut beberapa kawasan sempadan, namun kedua-dua pihak sedar tuntutan berdasarkan rujukan berbeza tidak memberi kesan ke atas wilayah sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
