PM akan hubungi Paetongtarn isu pertikaian sempadan Thailand-Kemboja

Anwar (dua, kiri) menunaikan solat sunat sebelum menunaikan solat Jumaat di Surau Al Ikhwan Jalan Pinggiran Putra hari ini. Foto Bernama
Anwar (dua, kiri) menunaikan solat sunat sebelum menunaikan solat Jumaat di Surau Al Ikhwan Jalan Pinggiran Putra hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra hari ini berhubung isu pertikaian sempadan Thailand-Kemboja.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar berkata, Malaysia mengambil maklum situasi yang berlaku di kedua-dua negara berkenaan.

"Nanti kita akan keluarkan kenyataan (mengenai hasil perbincangan dengan Paetongtarn Shinawatra),” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra, dekat sini pada Jumaat.

Pada 28 Mei lepas, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah Preah Vihear, Kemboja yang dilaporkan mengorbankan seorang askar Kemboja.

Kemboja kemudiannya mengumumkan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Thailand turut dilaporkan mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan isu sempadan dengan Kemboja melalui usaha damai mengikut undang-undang antarabangsa serta perjanjian dan memorandum yang berkaitan.

Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 1 Januari 2025 daripada Laos dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan tersebut pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015. – Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!