JKM cari ibu kandung Muhammad Qhasbie

BUKIT MERTAJAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Tengah sedang mengesan ibu kandung dan waris kanak-kanak lelaki bernama Muhammad Qhasbie Abdullah berusia lapan tahun yang menjadi mangsa pengabaian ibu kandungnya.
Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah, Siti Nur Fazlina Md Daud, berkata ibu kandung yang dikenali sebagai Nur Syazliana mula menghilangkan diri sejak April 2024.
Menurutnya, kanak-kanak itu kini berada di Tempat Selamat JKM.
"Kanak-kanak telah diselamatkan oleh JKM pada September 2023 di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2021.
"Hasil dapatan pelindung didapati kanak-kanak tidak memiliki sijil kelahiran memandangkan ibu kandung tidak pernah mendaftarkan kelahiran kanak-kanak di Jabatan Pendaftaran Negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Jumaat.
Siti Nur Fazlina berkata, pihaknya cuba menghubungi ibu kandung kanak-kanak berkenaan namun gagal memandangkan wanita itu tidak mempunyai alamat yang tetap serta tiada nombor telefon untuk dihubungi.
Jelasnya, permohonan Pengecualian Seksyen 15(3) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diluluskan untuk siaran media.
Waris atau orang ramai yang mengenali ibu kandung kanak-kanak terbabit boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04-538 2584.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
