2.85 juta kenderaan guna KLK, LPT sempena Aidiladha

KUANTAN – Sebanyak 2.85 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) sepanjang tempoh cuti perayaan Aidiladha yang disambut esok.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, data tersebut diperoleh daripada pihak konsesi lebuh raya bagi tempoh 29 Mei hingga 9 Jun ini.
Menurutnya, peningkatan aliran trafik adalah perkara biasa setiap kali musim perayaan, terutama apabila orang ramai pulang ke kampung halaman.
“KLK mencatatkan anggaran 2.56 juta kenderaan dengan purata harian 176,800 kenderaan, namun dijangka meningkat sehingga 148,000 kenderaan pada 8 Jun ini selepas cuti perayaan.
“Di LPT 1 pula, jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak 803,000 kenderaan dengan purata harian 73,100 kenderaan, manakala puncak aliran trafik dijangka mencecah 97,000 kenderaan pada tarikh yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Plaza Tol Gambang, malam Khamis.
Hadir sama, Pengarah JPJ Pahang, YBrs. Tuan Haji Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Ir Razali berkata, program advokasi tersebut dijalankan serentak dengan Ops Khas Aidiladha yang bermula dari 4 hingga 10 Jun sebagai usaha meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan terhadap kenderaan pengangkutan awam bagi memastikan aspek teknikal dan jadual perjalanan dipatuhi.
“Antara sembilan kesalahan utama yang diberi perhatian ialah memandu melebihi had laju, memotong di laluan kecemasan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.
“Keselamatan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi semua pihak. Pandu cermat, sampai selamat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

