Pengusaha gagal hidupkan semula perniagaan judi di Perlis

KANGAR – Mahkamah Tinggi Kangar menolak permohonan sebuah syarikat perjudian dan beberapa individu untuk menghidupkan semula operasi mereka di Perlis selepas gagal menunjukkan sebarang keputusan rasmi daripada kerajaan negeri yang boleh disemak secara kehakiman.
Hakim Arik Sanusi Yeop Johari dalam penghakimannya minggu lalu menyatakan bahawa pemohon hanya bergantung kepada laporan berita bercetak dan atas talian berkaitan dakwaan keengganan kerajaan negeri untuk mengeluarkan lesen premis perniagaan kepada pengendali loteri.
Beliau menegaskan bahawa laporan berita tidak boleh dianggap sebagai keputusan rasmi kerajaan negeri, sekali gus menjadikan permohonan tersebut sebagai remeh.
“Pemohon hanya merujuk laporan berita bercetak dan atas talian (berkaitan keputusan tersebut).
“Laporan berita ini tidak boleh dianggap sebagai ‘keputusan rasmi’ kerajaan negeri, dan oleh itu permohonan ini dianggap remeh,” kata Arik dalam penghakimannya seperti dipetik melalui portal FMT pada Jumaat.
Antara pemohon ialah STM Lottery Sdn Bhd, Leong Jenn Kiang, Chin Soo Shian, C Santha dan Yip Kok Chyun yang memohon untuk membatalkan keputusan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang enggan memperbaharui lesen premis mereka, menyebabkan operasi perniagaan loteri terhenti.
Mereka berhujah bahawa kuasa pengeluaran lesen perjudian terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, menjadikan keputusan pihak berkuasa negeri sebagai tidak rasional dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Arik menegaskan bahawa permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman tidak boleh diteruskan kerana tiada bukti keputusan rasmi.
Malah, jika pun wujud keputusan tersebut, isu berkenaan adalah dasar dan mahkamah tidak akan campur tangan dalam hal berkaitan dasar kerajaan.
Kes itu kini berada dalam proses rayuan dan akan melalui pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 16 Jun.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Tinggi Alor Setar sebelum ini membatalkan keputusan kerajaan negeri Kedah yang menolak pembaharuan lesen premis beberapa ejen pertaruhan dan syarikat perjudian, dengan alasan tindakan tersebut melampaui bidang kuasa kerajaan negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Kes rayuan berhubung keputusan itu telah didengar di Mahkamah Rayuan pada 26 Mei dan keputusan dijangka diumumkan selepas pengurusan kes pada 24 Jun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


