Cubaan curi lembu, dua anggota tentera ditahan

Kereta Proton Pesona yang dinaiki kedua-dua suspek dipercayai untuk melakukan jenayah itu.
Kereta Proton Pesona yang dinaiki kedua-dua suspek dipercayai untuk melakukan jenayah itu.
A
A
A

JASIN – Tindakan dua anggota tentera yang disyaki mahu mencuri lembu buat kali kedua di Simpang Bekoh, di sini, awal pagi Sabtu, tidak kesampaian apabila mereka dicekup polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 26 tahun dipercayai pergi ke sebuah kandang lembu dan kambing di kawasan terbabit untuk melakukan perbuatan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, bagaimanapun tindakan mereka disedari rakan kepada pemilik kandang haiwan ternakan yang segera memaklumkan mengenai kehadiran dua individu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, individu berkenaan memaklumkan bahawa dia ternampak seorang lelaki telah menceroboh masuk ke dalam kandang yang menempatkan 10 ekor lembu serta 22 ekor kambing.

“Seorang lagi lelaki dilihat sedang menunggu di dalam sebuah kereta jenis Proton Persona. Penduduk kampung cuba menangkap kedua-dua suspek, namun mereka berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta.

“Bagaimanapun, kereta mereka terbabas dan melanggar penghadang sungai sebelum kedua-dua suspek akhirnya tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kira-kira jam 2.30 petang pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamad Rusli berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek yang merupakan anggota tentera mengaku melakukan jenayah tersebut untuk menjual lembu berkenaan selepas menerima permintaan sempena musim perayaan Aidiladha.

Ujarnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Mereka turut mengaku terlibat dalam kes kecurian seekor lembu di kawasan sama sebelum ini dan telah direman selama sehari.

Artikel Berkaitan:

“Polis akan membuat permohonan untuk menyambung reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Jasin esok bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!