Ejen Ali 2 filem animasi paling tinggi kutipan di Malaysia

FILEM animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), terus mencipta sejarah apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM40.6 juta, sekali gus dinobatkan sebagai filem animasi nombor satu di Malaysia dari segi kutipan.
Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja mengatasi kutipan filem terdahulu Ejen Ali: The Movie (RM30 juta), malah meletakkan EATM2 mendahului Mechamato Movie yang sebelum ini memegang rekod tertinggi dengan kutipan RM35.8 juta.
Lebih membanggakan, EATM2 turut menewaskan beberapa judul filem antarabangsa yang ditayangkan sepanjang Mei, termasuk Thunderbolts, Mission: Impossible dan Lilo & Stitch di pawagam tempatan — satu pencapaian luar jangka bagi sebuah filem animasi buatan Malaysia.
Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti sokongan jitu rakyat Malaysia terhadap naskhah animasi tempatan.
“Ini bukan sahaja kemenangan buat kami, tetapi juga buat seluruh industri animasi tempatan. Terima kasih Malaysia kerana percaya pada cerita kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Setakat ini, lebih dua juta penonton telah membanjiri pawagam untuk menyaksikan sekuel ini yang diterbitkan oleh Wau Animation dengan kerjasama Primeworks Studios.
EATM2 membawa penonton menyusuri perjalanan Ali, seorang ejen remaja yang dipilih menyertai SATRIA — program elit yang menggunakan sut berteknologi tinggi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI). Namun, cabarannya tidak terhenti di situ apabila muncul Neonimus, seorang penggodam misteri yang menyimpan dendam lama terhadap Ali.
Dalam dunia penuh muslihat dan konflik teknologi, Ali perlu membuat keputusan sukar yang bukan sahaja menentukan nasib dirinya, malah masa depan seluruh kota Cyberaya.
Dengan gabungan naratif mendalam, animasi berkualiti tinggi dan elemen aksi yang memikat, tidak hairanlah Ejen Ali The Movie 2 berjaya mencetus fenomena tersendiri di layar perak, sekali gus menyuntik semangat baharu dalam industri animasi Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

