Kabinet baharu diharap penuhi harapan rakyat

Jamil Khir Baharom
Jamil Khir Baharom
A
A
A

ALOR SETAR - Kabinet kerajaan Perikatan Nasional yang menggabungkan pelbagai kepakaran daripada pelbagai sektor diharap mampu membawa negara ke landasan yang lebih baik.

Pengerusi UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kesepakatan itu juga diharap mampu memenuhi harapan rakyat terutama membabitkan isu kos sara hidup serta peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Menurutnya, latar belakang menteri Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk dari luar bidang politik seperti pakar perbankan, mufti, teknokrat dan profesional adalah langkah tepat memulihkan negara.

“Senarai yang membanggakan itu menamatkan penantian rakyat lebih dua minggu selepas kerajaan kekosongan Kabinet,” katanya di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, kesediaan Muhyiddin melantik Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak sebagai satu kementerian baharu adalah usaha yang baik.

Menurutnya, Kabinet tanpa Timbalan Perdana Menteri yang diperkukuhkan kehadiran empat menteri kanan, bukan sesuatu yang pelik kerana sudah diperkenalkan di Indonesia dan Singapura.

“Menteri kanan berperanan sebagai rakan pentadbiran yang membantu Perdana Menteri termasuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet ketika ketiadaan Muhyiddin jika berada di luar negara seterusnya melancarkan pentadbiran,” katanya.

Tambahnya, UMNO Kedah mengucapkan selamat menjalankan amanah kepada barisan Kabinet dan mendoakan semoga kejayaan akan sentiasa bersama anggota Kabinet baru negara.

Artikel Berkaitan: