Kempen ‘Ini Gelanggang Kita’ perkukuh akar umbi sepak takraw

Bintang skuad sepak takraw negara, Farhan Adam memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak yang hadir pada program berkenaan.
Bintang skuad sepak takraw negara, Farhan Adam memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak yang hadir pada program berkenaan.
A
A
A

KEMPEN ‘Ini Gelanggang Kita’ yang dilancarkan menerusi Program Komuniti Liga Sepak Takraw (STL) 2025 terus memperkukuh akar umbi sukan sepak takraw di Malaysia apabila berjaya menyatukan pemain, jurulatih dan komuniti setempat dalam satu inisiatif pemerkasaan yang berimpak tinggi.

Bertempat di Gelanggang Sepak Takraw Taman Mesra, Kajang, Selangor, program anjuran Astro Arena dan Astro Kasih dengan kerjasama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu bukan sahaja memberi nafas baharu kepada kemudahan sukan tempatan, malah mengangkat nilai perpaduan dan kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

Antara pengisian utama ialah aktiviti gotong-royong membaik pulih dan mengecat semula gelanggang yang telah menjadi nadi sukan komuniti sejak lebih 50 tahun, sekali gus mengiktiraf peranan penting gelanggang tersebut dalam melahirkan ramai pemain dan jurulatih berbakat dari peringkat akar umbi.

Program inisiatif Astro dan PSM bersama penduduk Taman Mesra, Kajang.
Program inisiatif Astro dan PSM bersama penduduk Taman Mesra, Kajang.

Turut menyertai program berkenaan ialah barisan pemain kebangsaan, personaliti sukan serta penduduk setempat yang tampil dengan semangat kesukanan tinggi.

Sesi interaktif turut diadakan bagi merangsang minat generasi muda terhadap sukan sepak takraw, sejajar dengan aspirasi memperluas penyertaan sukan warisan itu dalam kalangan belia.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John menyifatkan kempen tersebut sebagai satu usaha konkrit untuk mengangkat semula martabat sepak takraw di peringkat komuniti.

“Kami mahu inisiatif seperti ini menjadi pemangkin kepada kebangkitan sukan sepak takraw yang telah sekian lama menjadi warisan dan kebanggaan rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar projek tanggungjawab sosial, tetapi manifestasi komitmen Astro dalam pembangunan sukan tempatan,” katanya.

Pemain-pemain kebangsaan turut menyertai Program Komuniti STL 2025 diadakan semalam dengan mengecat semula gelanggang sepak takraw Taman Mesra di Kajang.
Pemain-pemain kebangsaan turut menyertai Program Komuniti STL 2025 diadakan semalam dengan mengecat semula gelanggang sepak takraw Taman Mesra di Kajang.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, setelah sedekad menganjurkan STL, Astro melihat pentingnya sokongan berterusan bukan sahaja di peringkat profesional, tetapi juga di akar umbi bermula dengan menyediakan kemudahan yang kondusif untuk latihan dan pembangunan bakat.

“Kami dimaklumkan bahawa gelanggang Taman Mesra ini telah mencungkil ramai pemain dan jurulatih yang kini berada dalam kancah STL.

“Justeru, kami mahu lebih banyak gelanggang seperti ini dibina dan dimanfaatkan sebaiknya oleh komuniti,” tambahnya.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yang turut hadir menyambut baik usaha strategik ini dan menegaskan kepentingan kesinambungan antara pembangunan akar umbi dan kejayaan di peringkat kebangsaan.

Kempen ‘Ini Gelanggang Kita’ merupakan antara inisiatif komuniti sempena STL musim ke-11 yang membuka tirainya di Terengganu pada 17 Mei lalu, sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang ke arah memperkukuh ekosistem sukan sepak takraw tanah air dari peringkat bawah hingga ke pentas profesional.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!