Sukan SEA 2025: Sasaran pingat keseluruhan, bukan ikut warna pingat

KUALA LUMPUR - Sasaran pingat bagi temasya Sukan SEA 2025 adalah kepada jumlah pingat keseluruhan dan bukannya mengikut warna pingat.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penetapan itu turut mengambil kira saranan daripada barisan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU).
Bagaimanapun katanya, penetapan sasaran pingat emas akan memberikan semangat kepada atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik di temasya sukan antarabangsa nanti.
“Pendekatan seperti ini juga merupakan amalan yang telah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Korea, Iran, Singapura dan Hong Kong.
“Penetapan sasaran pingat akan ditentukan selepas ini secara bersama di antara KBS (Kementerian Belia dan Sukan) melalui Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memandangkan pendaftaran akhir atlet bagi menyertai temasya tersebut masih terbuka sehingga bulan September 2025,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) tentang sasaran Malaysia bagi temasya Sukan SEA 2025 serta tahap kesiapsiagaan KBS susulan keputusan tuan rumah Thailand yang telah melakukan rombakan membabitkan acara yang akan dipertandingkan di luar jangkaan dengan menambah 15 acara dan menggugurkan 10 acara lain.
Tambah Hannah, pengguguran acara yang dilakukan oleh pihak tuan rumah akan memberi kesan kepada jumlah pingat yang akan dipungut oleh kontinjen negara kerana ia melibatkan acara-acara tumpuan atlet negara seperti sukan akuatik-terjun, berbasikal, gimrama, e-sukan dan pencak silat.
Selain itu katanya, tambahan acara pula akan memberikan kelebihan kepada Thailand selaku tuan rumah dengan penyenaraian acara yang memberikan kelebihan kepada atlet mereka.
Ujar beliau, KBS melalui MSN sentiasa menjalinkan kerjasama bersama Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) serta pemegang taruh utama yang lain seperti MOM dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam melaksanakan Program Podium bagi menyediakan atlet ke arah temasya sukan utama termasuk Sukan SEA 2025 di Thailand.
“Antara sukan-sukan dijangka akan menyumbang bilangan pingat yang banyak kepada kontinjen negara adalah akuatik-terjun, berbasikal-trek, hoki, memanah, menembak, pelayaran, skuasy dan tenpin boling.
“Sehingga kini, seramai 350 atlet di bawah Program Podium daripada 19 jenis sukan dan seramai 261 atlet Pelapis Kebangsaan daripada 15 jenis sukan sedang giat menjalani program latihan di bawah bimbingan jurulatih-jurulatih berpengalaman.
“Bagi memastikan prestasi atlet-atlet berada di tahap terbaik, MSN bersama PSK, ISN dan jurulatih telah membuat perancangan tahun 2025 menerusi pelan periodisasi pada 13 November 2024,” jelasnya.
Beliau berkata, program-program itu akan dilaksanakan mengikut perancangan dan keperluan serta perkhidmatan sokongan yang diberikan agar tahap prestasi atlet-atlet negara dalam keadaan terbaik untuk bersaing di Sukan SEA Thailand 2025 serta di kejohanan-kejohanan utama yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

