Harapan buat Menteri Agama

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

Petang semalam, sebaik mendengar pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam di negara ini melegakan ramai pihak.

Lihat sahaja ucapan tahniah di media sosial, rata-rata melahirkan rasa kesyukuran terhadap beliau. Sosok tubuh yang merupakan mantan Mufti Wilayah Persekutuan merupakan calon sesuai dan mempunyai faktor ‘wow’ terhadap pentadbiran Kabinet Muhyiddin pada waktu ini setelah negara mengalami krisis politik sebelum ini.

Kredibiliti beliau sebagai seorang mufti terserlah apabila beliau melakukan berbagai transformasi dalam skop seorang mufti yang mungkin bagi hemat penulis belum pernah dilakukan oleh mana-mana mufti sebelum ini.

Selain aktif di media sosial dengan pelbagai medium yang mendekatkan peranan beliau sebagai tokoh agama dengan masyarakat. Pelbagai jalur pendekatan beliau berinteraksi melalui peranan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan antaranya segmen Bayyan Lil Nas, Irsyadul fatwa, Irsryad al-Hadith, Irsyad Usul Fiqh serta pelbagai lagi yang berjaya menerangkan permasalahan umat masa kini.

Mungkin sebelum ini orang merasa janggal apabila seorang ilmuwan yang warak seperti beliau membicarakan tentang pasukan bola pilihan beliau iaitu Liverpool sehingga sosok figura seperti Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pernah menghadiahkan jersi pasukan tersebut kepada beliau sewaktu Seri Paduka berkunjung ke luar negara.

Lepasan Universiti Islam Madinah di peringkat sarjana muda dan Universiti Sains Malaysia di peringkat doktor falsafah itu juga memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan mendalam terutamanya dalam ilmu agama. Lihat sahaja pelbagai judul buku yang dikarang oleh beliau yang sememangnya bermanfaat buat masyarakat.

Betapa cintanya beliau kepada ilmu pengetahuan terbukti apabila beliau mengasaskan pelbagai institusi pengajian antaranya Pondok Moden Al-'Abaqirah (PMA) bagi melahirkan cendekiawan Islam yang mahir dalam ilmu agama dan ilmu duniawi.

Menurut catatan di laman Facebook beliau, selepas menerima maklumat bahawa beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), tugasan beliau mendekati masyarakat dalam siri kuliah bulanan beliau di Masjd Slim River, Perak masih diteruskan seperti biasa.

Malah sebelum menyampaikan kuliah, sempat lagi beliau menunaikan hajat jemaah yang ingin ditahnikkan anak mereka oleh beliau bagi memperoleh keberkatan. Semoga usaha mendekati rakyat sebegini diteruskan dengan lebih tersusun lagi pada masa akan datang.

Berdasarkan perkembangan semasa dalam politik semasa kini, kredibiliti dan pengalaman luas beliau sebelum ini sebagai pensyarah, tokoh ilmuwan diharapkan dapat menjernihkan kembali isu-isu yang berkait dengan institusi di bawah bidang kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta memperkasa lagi peranan dan bidang kuasa agensi yang berada di bawah bidang kuasa beliau.

Pastinya rakyat tertunggu-tunggu apakah transformasi dan gerak kerja yang bakal dilaksanakan oleh beliau terutamanya apabila menghadapi isu-isu kontroversi seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Memetik kata-kata beliau ketika ditemuramah oleh wartawan selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Senator dengan menukilkan ayat al-Quran daripada surah An-Namlu ayat 40, “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya”. Ayat ini merupakan ucapan Nabi Sulaiman AS setelah baginda melihat singgahsana yang terbentang indah terletak di sisinya.

Berjalanlah (pergilah) dengan diiringi keberkatan daripada ALLAH SWT, Datuk Seri! Ummah memerlukan khidmatmu pada waktu dan ketika ini.

* Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki ialah penuntut Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah), Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM).