Kebakaran Putra Heights: Bantuan sewa rumah dilanjutkan hingga tahun hadapan

Keadaan kediaman penduduk dan kenderaan yang musnah dalam insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights baru-baru ini. Foto fail Bernama
Keadaan kediaman penduduk dan kenderaan yang musnah dalam insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights baru-baru ini. Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melanjutkan bantuan pembiayaan sewa rumah kepada mangsa kejadian letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya sehingga sekurang-kurangnya April tahun hadapan.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, keputusan meneruskan bantuan berjumlah RM2,000 sebulan itu dibuat bagi memastikan mangsa mendapat tempat perlindungan sewajarnya sehingga kerja baik pulih kediaman mereka siap.

"Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk membayar sewa rumah (mangsa) selama enam bulan, bagaimanapun kita akan lanjutkan sehingga setahun atau lebih terutama bagi rumah yang rosak sepenuhnya kerana memerlukan masa untuk dibina semula.

"Untuk rumah yang rosak sebahagian, bantuan juga akan diteruskan kepada mangsa sehingga rumah siap dan hanya dihentikan sejurus mereka boleh masuk ke rumah terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Borhan berkata, kerajaan negeri akan menilai proses pembaikan setiap rumah terlibat bagi memudahkan saluran bantuan dibuat menerusi peruntukan disediakan.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan kerajaan Selangor memperuntukkan RM2.73 juta bagi bantuan sewa rumah kepada 455 keluarga terkesan dalam insiden itu selama enam bulan bermula April.

Kebakaran saluran gas Petronas di Putra Heights pada 8.10 pagi, 1 April menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya, selain menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter di lokasi kejadian. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!