Mayat lelaki ditemui di tapak pembinaan

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki ditemukan di tapak pembinaan di Bangsar di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, setakat ini identiti mayat tersebut masih belum dapat disahkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Memang ada penemuan mayat, namun belum dapat dipastikan sama ada ia adalah mayat lelaki warga United Kingdom yang dilaporkan hilang baru-baru ini.
“Anggota bomba sedang menjalankan kerja-kerja membawa keluar mayat terbabit. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang lelaki warga United Kingdom dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berhampiran kawasan Bangsar pada 27 Mei lalu.
Kehilangan lelaki berusia 25 tahun itu disedari oleh keluarganya apabila telefon bimbitnya gagal dihubungi, malah akaun media sosialnya juga tidak lagi aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
