Pakistan mahu India ‘bersujud’ dalam 48 jam, akhirnya 'tunduk'

Ketua Turus Pertahanan India, Jeneral Anil Chauhan, menyampaikan kenyataan tersebut pada Selasa ketika menyampaikan syarahan di Universiti Savitribai Phule Pune. Foto Agensi
Ketua Turus Pertahanan India, Jeneral Anil Chauhan, menyampaikan kenyataan tersebut pada Selasa ketika menyampaikan syarahan di Universiti Savitribai Phule Pune. Foto Agensi
A
A
A

INDIA – Ketua Turus Pertahanan India, Jeneral Anil Chauhan mendedahkan bahawa Pakistan melancarkan serangan yang dinamakan Operasi Bunyan al-Marsoos pada 10 Mei lalu dengan matlamat memaksa India ‘bersujud’ dalam tempoh 48 jam, namun operasi tersebut didakwa 'gagal' dalam masa hanya lapan jam.

Menurutnya, selepas kegagalan itu, Pakistan terpaksa menghubungi India dan menyatakan hasrat untuk berunding.

“Serangan dimulakan sekitar jam 1 pagi dan melibatkan beberapa siri serangan serentak ke atas sasaran India. Namun, dalam tempoh lapan jam, operasi tersebut terpaksa dihentikan dan mereka segera mengangkat telefon untuk berbincang,” katanya dalam syarahan bertajuk Perang Masa Depan dan Corak Perang di Universiti Savitribai Phule Pune, pada Selasa.

Jeneral Chauhan turut memaklumkan bahawa tindakan Pakistan itu adalah tindak balas kepada Operasi Sindoor yang dilancarkan oleh India sebelum itu.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai kerugian di pihak India, beliau menegaskan bahawa aspek itu tidak sepenting keputusan dan kesan strategik operasi ketenteraan.

“Menghitung angka bukan keutamaan. Apa yang penting ialah kejayaan misi dan keberkesanan tindak balas,” jelasnya sambil memberi analogi sukan bola sepak dan kriket bagi menjelaskan perbezaan antara kemenangan tipis dan kemenangan mutlak.

Beliau juga mengakui bahawa setiap operasi ketenteraan membawa risiko tersendiri dan tidak mungkin mempunyai maklumat 100 peratus tepat sebelum dilaksanakan.

“Kita perlu sentiasa bersedia menyesuaikan diri dan bangkit semula. Dalam perang, semangat ofensif sangat penting. Sebab itu saya tegaskan, kehilangan bukan ukuran utama, tetapi hasilnya,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!