Kes saman Yusoff Rawther: Anwar gagal rujuk persoalan undang-undang antaranya isu imuniti

Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan antaranya, sama ada Perdana Menteri itu mempunyai imuniti daripada sebarang kes saman sivil.

Hakim, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).

Ketika membaca keputusan tersebut, beliau berkata, tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang, menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili, hingga memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) PP atau Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Persoalan yang dikemukakan ialah bersifat spekulatif dan tidak membabitkan tafsiran atau kesahan bagi mana-mana peruntukan perlembagaan.

“Dari perspektif kehakiman, persoalan yang dicadangkan tidak kelihatan memenuhi ambang kontroversi perlembagaan yang tulen,” katanya.

Hakim itu berkata, Anwar selaku defendan masih bebas dengan kapasiti undang-undang penuh dan perlindungan prosedur yang tersedia, oleh itu Perkara 5(1) tidak terbabit dan tidak perlu ditafsirkan dalam permohonan itu.

Menurutnya, Perkara 8(1) (kesamarataaan di sisi undang-undang) pula, berfungsi sebagai pelindung, dan bukan pemberi kekebalan.

“Ia menjamin layanan sama rata di sisi undang-undang dan bukan pengecualian daripadanya.

“Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan defendan membayar kos sebanyak RM20,000 dan memerintahkan kes saman berkenaan diteruskan pada tarikh yang sudah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 16 Jun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa beliau menyerangnya secara seksual.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad minggu lalu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Beliau turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Anwar juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Dalam prosiding ini, Anwar, 78, tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam-peguamnya, Datuk Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie, Datuk Seri K Raja Segaran dan Alan Wong Teck Wei sementara peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali hadir bagi pihak Yusoff, 32.

Turut hadir ialah peguam, Haniff Khatri Abdullah hadir selaku peguam pemerhati bagi pihak Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) sementara peguam, Vivek Sukumaran untuk Badan Peguam Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!