Penganggur didakwa edar dadah lebih 6kg berdepan hukuman mati

PONTIAN – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Rabu atas empat pertuduhan mengedar dan memiliki dadah di sebuah rumah di Taman Mutiara, di sini bulan lalu.
Tertuduh, Lau Keat Lim, 35, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan bagi kesalahan mengedar dadah jenis MDMA dibacakan di hadapan Majistret Arina Azmin Ahmad Marzuki.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Mutiara pada kira-kira jam 6.10 petang, 21 Mei lalu.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat 6.4 kilogram dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 kali sebatan, sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan berkaitan pemilikan dadah lain di lokasi dan masa yang sama iaitu memiliki 20.04 gram methamphetamine, 5.66 gram ketamin dan 1.06 gram methamphetamine.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12(3) akta yang sama.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Sahira Rosley, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 5 Ogos bagi serahan laporan kimia.
Terdahulu, Polis Johor berjaya menahan lapan ahli sindiket termasuk dua wanita warga asing serta merampas lebih 15 kilogram dadah bernilai RM2.3 juta dalam dua operasi khas di Johor Bahru dan Pontian pada 20 dan 21 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, menerusi serbuan di sebuah apartmen berpagar dan berpengawal di Skudai, lima lelaki tempatan, seorang wanita warga Vietnam dan seorang lagi wanita warga Myanmar berusia antara 29 hingga 54 tahun ditahan.
Beliau berkata, dalam operasi di sebuah rumah teres berpagar dan berpengawal di Pontian pula, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan bersama sejumlah rampasan dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

