Ribut kuat landa Pantai Kemasin, pengunjung cemas lari bertempiaran

BACHOK – Seorang remaja lelaki cedera manakala lebih 500 pengunjung di sebuah pusat peranginan di Pantai Kemasin di sini bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas lebih 15 batang pokok ru tumbang dalam kejadian ribut pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 7 petang itu, mangsa berusia 15 tahun yang cedera akibat dihempap dahan pokok ru telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, orang ramai terpaksa berlindung di sebuah bangunan kosong yang masih dalam pembinaan selepas dua kali ribut melanda kawasan peranginan terbabit.
Seorang pengunjung, Azidi Abdullah, 32, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri, anak, kakak dan ibu sedang membeli makanan sebelum dikejutkan dengan tiupan angin kencang serta bunyi pelik.
“Tiba-tiba beberapa pokok ru di hadapan kami tumbang dan orang ramai mula berlari menyelamatkan diri ke sebuah bangunan berhampiran.

“Ada pengunjung melaungkan azan untuk meredakan keadaan, selain kanak-kanak menangis dan orang dewasa berada dalam keadaan panik. Ia berlaku terlalu pantas menyebabkan semua orang terkejut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan banyak kenderaan, motosikal serta gerai jualan mengalami kerosakan.
Ujarnya, dia dan keluarga selamat pulang ke rumah sekitar jam 8.30 malam dan masih trauma dengan kejadian tersebut.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan I Ibrahim Mohd Rohni berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.39 petang.
“Sampai di lokasi kejadian, kami melakukan kerja-kerja memotong pokok tumbang dan didapati seorang remaja lelaki mengalami kecederaan ringan akibat kejadian tersebut.
“Remaja terbabit telah diserahkan kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

