Rokok seludup RM1.48 juta disimpan dalam rumah, MPV dirampas

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 1.72 juta rokok seludup termasuk keretek bernilai RM1.48 juta selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Babong di sini pada 7 Mei lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan jam 10.30 pagi itu dilakukan oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu.
"Hasil serbuan tersebut kita berjaya merampas 1.72 juta batang rokok pelbagai jenis yang berada di dalam rumah dan sebuah MPV (kenderaan pelbagai guna) jenis Toyota Inova.
"Nilai rampasan rokok itu berjumlah RM286,234 manakala MPV RM30,000. Duti cukai yang terlibat pula bernilai RM1.16 juta," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM1.48 juta.
Ujarnya, siasatan awal mendapati MPV itu telah digunakan untuk mengedar rokok-rokok yang merupakan barang larangan tersebut.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan premis tersebut disewa dan dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup sebelum diedarkan kepada pelanggan.
"Kes ini masing-masing sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
"Sehubungan dengan itu orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!