Krisis gaji graduan rendah: Kerajaan perlu segera laksana Skim Jaminan Kerja

SHAH ALAM – Sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan segera Skim Jaminan Kerja sebagai langkah penyelesaian konkrit terhadap kemerosotan nilai gaji permulaan graduan di Malaysia.
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), N G Gandipan berkata, tindakan itu perlu disegerakan susulan laporan terkini PNB Research Institute (PNBRI) yang mendedahkan bahawa gaji permulaan pemegang ijazah pertama pada tahun 2022 hampir menyamai gaji pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding jurang sebanyak 2.7 kali ganda pada tahun 1997.
Jelasnya, situasi tersebut merupakan bukti nyata kegagalan sistem ekonomi neoliberal yang didakwa tidak lagi menjamin masa depan graduan muda.
“Apa gunanya rakyat berhempas pulas mendapatkan pendidikan tinggi jika gaji diperoleh tidak mencukupi untuk menyara kehidupan?
“Di manakah kesejahteraan ekonomi yang sering dicanang dalam ucapan-ucapan rasmi kerajaan?” soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Gandipan berkata, kerajaan tidak lagi boleh berlindung di sebalik retorik politik memandangkan pemilihan dalaman parti pemerintah telah pun selesai.
“Ini adalah masa untuk tindakan. Kerajaan mesti berpihak kepada pekerja, khususnya graduan baharu yang semakin kecewa,” tegasnya.
Berikutan itu, Gandipan yang mewakili PSM turut mempertikai keberkesanan Dasar Gaji Progresif yang diperkenalkan kerajaan memandangkan masih tiada statistik jelas tentang pelaksanaannya.
“Berapa buah syarikat telah menyertai dasar ini? Berapa orang graduan sudah menikmati kenaikan gaji? Tanpa data yang telus, kita tidak dapat menilai dasar ini secara objektif,” katanya.
Sebagai penyelesaian jangka panjang, Gandipan berkata, PSM mencadangkan pelaksanaan segera Skim Jaminan Kerja, iaitu satu dasar di mana kerajaan bertindak sebagai majikan terakhir sekiranya sektor swasta gagal menyediakan pekerjaan bermaruah.
Beliau menjelaskan, antara sektor tumpuan skim tersebut termasuk bidang pemuliharaan alam sekitar, pertanian, kesihatan, pendidikan awal, kerja sosial serta penjagaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
“Skim ini selari dengan prinsip bahawa pekerjaan adalah hak asasi manusia. Ia juga menawarkan kestabilan ekonomi dengan menyediakan kerja tetap, gaji sara hidup dan perlindungan sosial,” ujarnya.
Tambah Gandipan, sekiranya pendidikan tinggi tidak lagi menjanjikan kestabilan hidup, generasi muda berisiko hilang kepercayaan terhadap sistem negara, sekali gus mencetuskan krisis sosial yang lebih besar.
“Sehubungan itu, PSM menggesa kerajaan mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pihak berkepentingan termasuk gerakan pekerja, persatuan pelajar dan parti politik progresif bagi merangka pelan tindakan memulihkan sistem pekerjaan dan pendapatan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
