Selangor rangka larangan vape secara berperingkat

Perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor pelbagai pihak sedang giat dijalankan untuk memastikan larangan yang bakal dilaksanakan nanti tidak membebankan semua pihak.

Amirudin (empat dari kanan) dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (empat dari kiri) bergambar selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di IPK Selangor, Shah Alam pada Selasa.
Amirudin (empat dari kanan) dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (empat dari kiri) bergambar selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di IPK Selangor, Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang merangka pelaksanaan larangan penjualan rokok elektronik atau vape secara berperingkat dengan pendekatan berhemah demi menjaga kepentingan kesihatan awam terutama generasi muda.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan pelbagai pihak sedang giat dijalankan untuk memastikan larangan yang bakal dilaksanakan nanti tidak membebankan semua pihak.

"Kita juga sedang menunggu cadangan balas dan pandangan daripada pelbagai pihak untuk melihat bagaimana pendekatan 'soft landing' boleh dilaksana kerana pengusaha ini juga ada pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, Amirudin menegaskan, kesihatan awam kekal sebagai keutamaan kerajaan negeri terutama dalam membendung gejala penyalahgunaan bahan terlarang seperti ganja dan beberapa kes berkaitan vape mengandungi cecair 'magic mushroom' walaupun jumlahnya kecil.

"Kita bimbang ada kesan sampingan lain seperti penyalahgunaan ganja dan magic mushroom yang sudah dikesan dalam beberapa kes,” jelasnya.

Menurut beliau, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin sedang menyiapkan kertas cadangan bagi memperincikan dasar dan garis panduan pelaksanaan larangan itu.

"Antara isu utama yang diberi perhatian adalah tindakan penguatkuasaan di negeri lain yang menyebabkan kekeliruan tentang larangan penjualan tetapi bukan penggunaan.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan keputusan berhubung larangan itu akan dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor geografi, kesihatan, ekonomi dan pelaksanaan penguatkuasaan secara realistik.

Artikel Berkaitan:

"Ada negeri umum haramkan jualan tapi garis panduan tak jelas, contohnya, jual tak boleh tapi hisap (vape) boleh.

"Tambahan pula, lokasi Selangor yang bersempadan dengan Kuala Lumpur seperti Ampang hanya ambil masa 15 minit untuk beli vape di sana,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!