Warga emas ditahan bawa kayu balak tanpa lesen

Hasil kayu dianggarkan bernilai RM500 yang diangkut dengan sebuah lori. -Foto JPNK
Hasil kayu dianggarkan bernilai RM500 yang diangkut dengan sebuah lori. -Foto JPNK
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 69 tahun berdepan kompaun sehingga RM10,000 kerana membawa kayu balak jenis medang teja tanpa lesen yang sah ketika ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) di Jalan Kupang-Gerik di Kampung Tiak, Baling petang semalam.

Pengarah JPNK, Roslan Rani berkata, warga emas berkenaan membawa hasil kayu dianggarkan bernilai RM500 yang diangkut dengan sebuah lori dalam keadaan tertutup.

Menurutnya, warga emas itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kupang untuk tindakan lanjut manakala lorinya pula disita.

"Lori yang dipandu warga emas itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika penguat kuasa membuat rondaan rutin dan selepas mengekorinya sejauh tiga kilometer, suspek berhenti di bahu jalan sebelum meninggalkan lorinya.

"Pemeriksaan ke atas lori berkenaan mendapati terdapat kayu balak jenis medang teja yang diangkut berkenaan tanpa lesen yang sah selain tidak membayar cukai kepada kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roslan berkata, bagaimanapun suspek kembali semula kira-kira lima jam kemudian dan mendakwa terpaksa parkir lori miliknya itu di tepi jalan selepas mengalami kerosakan.

"Suspek ditahan selepas diberikan penjelasan terhadap kesalahan yang dilakukan. Siasatan awal mendapati kayu balak ini dipercayai diambil dari kawasan Kampung Kemangi, Baling dan akan dijual di sebuah kilang kayu di Kampung Sungai Limau," katanya.

Katanya, JPNK memandang serius aktiviti yang melibatkan kesalahan hutan dan pihaknya mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi memastikan agar tidak berlaku kebocoran hasil kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 68 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).