'Sungai kita dijajah ikan asing'

MALAYSIA kini berdepan dengan ancaman serius terhadap kelangsungan spesies ikan tempatan akibat pencerobohan spesies asing invasif, khususnya di kawasan sungai air tawar sekitar Lembah Klang.
Ancaman ini bukan sahaja menggugat biodiversiti akuatik, malah turut mengancam mata pencarian komuniti nelayan darat dan kestabilan ekosistem perairan.
Antara spesies paling dominan yang dikenal pasti ialah ikan bandaraya (pleco), keli Afrika, baung ekor merah dan tilapia hitam.
Ikan bandaraya, khususnya, menjadi perosak utama kerana kebolehan pembiakannya yang pantas dan keupayaannya bertahan dalam persekitaran tercemar.
Populasinya yang meledak berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang melepaskan ikan hiasan ke dalam perairan awam apabila sudah tidak mahu membelanya.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila spesies invasif seperti baung ekor merah turut dikenal pasti sebagai pemangsa kepada anak-anak ikan tempatan.
Kesan langsung daripada situasi ini ialah kemerosotan drastik bilangan ikan tempatan seperti lampam sungai dan Betta Persephone yang kini diklasifikasikan sebagai hampir pupus.
Malah, dalam aktiviti pemancingan, nisbah tangkapan ikan tempatan berbanding ikan asing amat membimbangkan, dengan hanya satu atau dua ekor ikan tempatan diperoleh bagi setiap satu tan tangkapan.
Usaha-usaha mitigasi telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), termasuk pelaksanaan Pelan Pengurusan Spesies Asing serta program pelepasan benih ikan asli seperti lampam, puyu dan baung sungai.
Namun, pelepasan ini sering tidak memberikan impak ketara kerana spesies invasif mendominasi kawasan sungai dan menyukarkan benih ikan asli untuk membesar dan membiak.
Dalam menghadapi cabaran ini, pendekatan holistik diperlukan. Di samping penguatkuasaan terhadap penjualan dan pelepasan spesies invasif, kempen kesedaran masyarakat harus dipertingkatkan, termasuk melalui pendidikan di peringkat sekolah.
Pertandingan menangkap ikan asing seperti yang dianjurkan di negeri Pahang dan Pulau Pinang wajar diperluaskan ke seluruh negara.
Kerjasama antara kerajaan, NGO dan komuniti pemancing juga perlu diperkukuh bagi melindungi sumber perikanan air tawar negara untuk generasi akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
