Wan Rosdy tiba di Tanah Suci, gembira bertemu jemaah haji dari Pahang

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selamat tiba di Tanah Suci Makkah pada Ahad dan berkesempatan bertemu jemaah haji dari Pahang yang tiba lebih awal.
Beliau menyuarakan rasa gembira apabila dapat bertemu dengan sebahagian jemaah haji dari Pahang itu.
“Alhamdulillah, saya dan keluarga telah selamat tiba di Tanah Suci Makkah dalam keadaan sihat walafiat.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Melalui hantaran itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tabung Haji atas komitmen dan dedikasi mereka dalam memastikan kebajikan serta kelancaran urusan jemaah haji Malaysia sentiasa terjaga mengikut syarat dan ketetapan yang ditentukan.
“Semoga segala usaha dan pengorbanan kita semua diberkati serta dirahmati ALLAH SWT. Insya-Allah,” ujarnya.
Wan Rosdy bersama isteri, Datin Seri Datuk Burhah Mohammed serta ahli keluarga berlepas ke Tanah Suci Makkah pada malam Jumaat lalu bagi menunaikan ibadah haji.
Beliau berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki penerbangan pada jam 7.30 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

