Isu subsidi gas LPG: Kerajaan tidak tindas peniaga kecil – AMK Alor Setar

Luqman Rosli
Luqman Rosli
A
A
A

ALOR SETAR – Isu penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial 14 kilogram ataupun tong LPG komersial dalam kalangan peniaga kecil mencetuskan pelbagai reaksi sehingga menimbulkan kekeliruan.

Kenyataan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menggambarkan seolah-olah kerajaan menindas golongan berkenaan dengan menamatkan subsidi gas memasak ternyata kurang tepat.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Setar, Luqman Rosli berkata, peraturan tersebut bukan perkara baharu, malah telah berkuat kuasa sejak tahun 2021 di bawah pentadbiran terdahulu.

Justeru katanya, sebarang cubaan mengelirukan rakyat dengan naratif yang tidak tepat mengenai isu ini perlu ditolak.

“Kerajaan Madani tidak memansuhkan subsidi LPG. Sebaliknya, ia disusun semula agar lebih bersasar bagi mengelakkan ketirisan.

“Isi rumah masih menikmati subsidi manakala peniaga kecil yang menggunakan satu hingga tiga tong LPG subsidi tetap dibenarkan selagi mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya pada Ahad.

Luqman berkata, pelaksanaan Ops GASAK sejak Mei 2025 bertujuan mengekang penyalahgunaan subsidi oleh pihak industri, sekali gus membanteras aktiviti haram.

Menurutnya, langkah tersebut membuktikan bahawa kerajaan bukan menekan rakyat, tetapi memastikan subsidi hanya dinikmati oleh golongan yang layak.

“Kerajaan juga tidak mengetepikan kepentingan peniaga kecil dalam pelaksanaan dasar ini. Tempoh peralihan sedang dipertimbangkan untuk memberi ruang kepada mereka menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa terbeban secara mendadak.

Artikel Berkaitan:

“Subsidi bersasar adalah langkah reformasi fiskal yang penting bagi memastikan keseimbangan ekonomi negara,” ujar beliau.

Beliau berkata, adalah penting untuk rakyat mendapatkan mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat berhubung apa sahaja isu berkaitan dasar kerajaan.

“Penyaluran maklumat yang tidak menyeluruh atau berasaskan sentimen politik hanya akan menimbulkan salah faham dan ketidakstabilan persepsi masyarakat.

“Kerajaan tidak menindas rakyat, tetapi memastikan keadilan dalam sistem subsidi agar ia dapat diteruskan untuk golongan yang benar-benar memerlukan. Sebelum menuding jari, dapatkan fakta yang tepat,” tambah beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Afnan Hamimi yang juga Ketua Pemuda Pas membidas keputusan Kerajaan Madani melarang peniaga kecil menggunakan tong gas LPG bersubsidi, menyifatkannya sebagai menekan rakyat dan tidak masuk akal.

Menurutnya, rakyat tidak boleh menerima langsung keputusan kerajaan yang mahu melarang peniaga kecil menggunakan tong gas LPG bersubsidi berharga RM26, sebaliknya dipaksa menggunakan tong gas komersial berwarna ungu yang mencecah hampir RM70 seunit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!