Cabaran Menteri KDN tangani masalah di lapangan

Datuk Hamzah Zainuddin - Foto Bernama
Datuk Hamzah Zainuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu perkauman, penyebaran berita palsu sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam adalah antara cabaran yang perlu dihadapi Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis Pertahanan dan Perunding Keselamatan, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, pengalaman Hamzah menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) (kini dikenali sebagai KPDNHEP) pada 2015 dilihat sedikit sebanyak dapat membantunya menjalankan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Beliau (Hamzah) pernah memimpin agensi penguatkuasaan (KPDNHEP) dan ia tidak banyak beza, cuma kali ini beliau berhadapan dengan cabaran mengharmonikan rakyat.

Ini kerana isu perkauman dan bahayanya penyebaran berita palsu yang kerap dibangkitkan di media sosial dan di lapangan,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Fuad meletakkan keyakinan bahawa Hamzah dapat membawa perubahan dalam menerajui portfolio itu.

Sementara itu, Pakar Geostrategik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, pemilihan Hamzah dilihat tepat kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan agensi penguatkuasaan.

Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi tumpuan ialah masalah membabitkan pendatang asing tanpa izin di negara ini, termasuk yang masuk sebagai pelancong tetapi tidak pulang ke negara asal dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan.

“Ini menimbulkan kegelisahan rakyat dan mungkin satu program dapat diwujudkan untuk mengawasi pergerakan pelancong yang tinggal melebihi tempoh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hamzah, 63, yang juga Ahli Parlimen Larut sejak 2008, pernah menyandang beberapa jawatan dalam Kerajaan Persekutuan antaranya sebagai Timbalan Menteri Luar bagi tempoh 2013 hingga 2015.

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan kabinetnya merangkumi 31 menteri pada sidang akhbar khas di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Hamzah akan dibantu oleh dua timbalan iaitu Ahli Parlimen Kuala Krau, Pahang Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Ahli Parlimen Ranau, Sabah Jonathan Yassin. - Bernama