Ribuan jemaah Indonesia terkandas, Arab Saudi henti gunakan Visa Furada

JAKARTA – Ribuan jemaah dari Indonesia yang merancang menunaikan ibadah haji menerusi laluan Haji Furada terkandas selepas kerajaan Arab Saudi secara rasmi menghentikan pengeluaran visa khas tersebut bagi musim haji 2025.
Langkah mengejut itu diumumkan kurang seminggu sebelum kemuncak ibadah wukuf di Arafah yang dijadualkan berlangsung pada 5 Jun ini.
Berbeza dengan kuota haji biasa atau haji khas yang diuruskan oleh Kementerian Agama Indonesia, Haji Furada ialah visa jemputan khas daripada kerajaan Arab Saudi yang membolehkan pemohon menunaikan haji tanpa perlu menunggu giliran bertahun-tahun.
Kebanyakan jemaah terbabit telah membayar pada kadar premium kerana dijanjikan laluan lebih cepat ke Makkah. Namun, polisi baharu ini telah menghancurkan harapan mereka, sekali gus menimbulkan kekecohan dalam kalangan agensi pelancongan dan bakal jemaah.
Antara agensi yang terjejas ialah Fatimah Zahra Travel yang memaklumkan telah mengalami kerugian sehingga 5 bilion rupiah (kira-kira RM1.28 juta) selepas menempah penerbangan, penginapan dan pengangkutan bagi 37 jemaah Haji Furada.
“Kami menunggu sehingga Subuh hari ini untuk visa, berharap ia akan diluluskan pada saat akhir, tetapi akhirnya tidak menjadi kenyataan,” kata Pengurus Besarnya, Firdaus Mohammad Adam pada Sabtu.
Walaupun mengalami kerugian besar dan kebanyakan perbelanjaan tidak dapat dikembalikan, Firdaus menegaskan bahawa agensinya akan memulangkan wang pendahuluan semua pelanggan tanpa sebarang potongan.
Tindakan tersebut mendapat pujian orang ramai yang memuji kejujuran dan integriti pihak agensi.
Insiden ini sekali lagi mencetuskan perdebatan di Indonesia berhubung keperluan kerajaan meletakkan sistem Haji Furada di bawah pengawasan rasmi bagi mengelakkan penipuan serta memastikan perlindungan undang-undang terhadap jemaah.
Perikatan Pengusaha Haramain Indonesia (Asphirasi) turut menggesa kerajaan mengambil alih pengurusan visa Furada bagi menjamin ketelusan dan keselamatan proses.
Firdaus dalam pada itu menyarankan agar bakal jemaah mempertimbangkan pendaftaran melalui kuota haji khas yang walaupun memerlukan tempoh menunggu sehingga tujuh tahun, menawarkan kepastian sah dan kemudahan lebih baik.
Beliau menegaskan Haji Furada hanyalah sejenis visa dan bukan jaminan kemewahan, malah dalam banyak keadaan penginapan jemaah Furada terletak lebih jauh berbanding pakej haji khas.
Difahamkan, pakej haji khas tahun ini bermula sekitar AS$16,950 (kira-kira RM72,200) dengan bayaran pendahuluan AS$4,500 (RM19,200) termasuk kemudahan setaraf VIP berhampiran lokasi utama ibadah. Sebagai perbandingan, harga pakej Haji Furada pada tahun lalu mencecah antara 373.9 juta rupiah (RM95,000) hingga 975.3 juta rupiah (RM248,000).
Walaupun kecewa, agensi seperti Fatimah Zahra tetap komited untuk terus beroperasi dan membantu para jemaah.
“Kami pernah lalui perkara sama pada 2022. Waktu itu visa hanya tiba sehari sebelum berlepas. Inilah realiti dalam industri ini – kalau mahukan keuntungan, kena sedia hadapi kerugian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

