Pas kembali selepas 43 tahun

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jemaah Menteri yang diumumkan semalam menyaksikan Pas kembali ke persada kepimpinan kerajaan Persekutuan selepas hampir 43 tahun menjadi pembangkang.

Pada sidang akhbar di Putrajaya semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan tiga pemimpin Pas sebagai menteri dalam Kabinet beliau.

Mereka ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar, Datuk Takiyuddin Hassan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Parlimen dan Undang-Undang) dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi).

Tuan Ibrahim merupakan Timbalan Presiden Pas, sementara Takiyuddin ialah Setiausaha Agung dan Mohd Khairuddin merupakan ahli jawatankuasa kerja parti itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang tidak dilantik dalam mana-mana jawatan dalam Kabinet kali ini.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, pembentukan Kabinet baharu kali ini dilakukan secara berhemat dengan mengambil kira aspek integriti dan kelayakan serta keseimbangan antara wilayah dan masyarakat majmuk.

“Pas menyambut baik dan mendokong sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri dan jemaah Menteri yang baharu diumumkan hari ini (semalam) demi membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.

“Pas turut berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada kami dan akan berusaha untuk menunaikan kewajipan ini dengan pertolongan ALLAH serta mengharapkan kerjasama daripada penjawat awam dan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Pas berikrar akan melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya.

“Kita juga bersedia untuk menerima pandangan positif daripada semua pihak khususnya kalangan ahli akademik, profesional dan tokoh masyarakat yang berkebolehan untuk membantu membangunkan negara yang tercinta. Islam memimpin perpaduan,” katanya.

Kali terakhir Pas berada dalam Kabinet Persekutuan ialah pada Januari 1973 hingga November 1977 semasa Presiden Pas ketika itu, Mohd Asri Muda menyandang jawatan Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

Pas dipecat daripada Barisan Nasional (BN) pada 14 November 1977.