Polis terima 21 laporan dakwaan program LGBT anjuran parti politik

PETALING JAYA – Polis menerima sebanyak 21 laporan berhubung satu parti politik yang didakwa merancang untuk menganjurkan satu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), di sini, pada 21 Jun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesahkan terkesan satu hantaran berhubung kandungan media sosial pemuda parti politik itu yang merancang untuk menganjurkan program berkenaan.
"Program itu dipercayai akan diadakan di lokasi yang masih belum dikenal pasti dalam daerah ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Hussein berkata, setakat ini, sebanyak 21 laporan polis yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat di 11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang membantah penganjuran program tersebut.
"Program ini dilihat jelas melampaui sensitiviti rakyat serta menyalahi undang-undang negara yang tidak menyokong sebarang bentuk amalan LGBT di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan dibawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya.
Hussien berkata, sehubungan itu, masyarakat dan mana-mana individu lain diingatkan untuk tidak menyertai program tersebut.
"Pihak polis akan terus memantau perkembangan ini dan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan ketenteraman awam dan undang-undang dipatuhi," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
