X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Muhyiddin kotakan janji

Muhyiddin menunjukkan fail senarai nama pelantikan jemaah menteri semasa sidang media pengumuman itu di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman barisan jemaah menteri hari ini sudah pasti dijadikan kayu ukur oleh rakyat tentang sejauh mana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serius menunaikan janji beliau.

Melalui ucapan sulung yang disiarkan oleh stesen televisyen dan media sosial pada malam 2 Mac, Perdana Menteri kelapan itu memberi beberapa jaminan kepada rakyat bahawa pentadbirannya akan melantik anggota jemaah menteri yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

Hari ini, janji dikota apabila Muhyiddin mengumumkan ‘kabinet citra baharu’ beliau terdiri daripada tokoh politik berpengalaman, teknokrat dan pakar dalam pelbagai bidang.

Beliau turut menegaskan semua anggota kabinet yang diumumkan melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kabinet yang diumumkan itu juga diharap sebuah Kabinet yang berfungsi untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih berfokus kepada rakyat terutamanya dalam hal ekonomi, keselamatan, pembangunan infrastruktur dan pendidikan dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

Tepati hasrat rakyat

Antara tokoh yang sudah tentu menarik perhatian dalam senarai anggota jemaah menteri yang dilantik adalah Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dilantik sebagai Menteri Kewangan, Tengku Zafrul adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings (sebelum meletakkan jawatan hari ini) yang mempunyai rangkaian cawangan di 16 buah negara.

Sementara Zulkifli yang diumumkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau cukup dikenali rakyat Malaysia termasuk di media sosial kerana sering memberi pandangan berkenaan isu-isu terkini berkaitan agama Islam khususnya di Malaysia.

Beliau juga banyak menjalin hubungan baik dengan pelbagai lapisan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Sementara itu, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, meskipun memilih golongan profesional dalam barisan Kabinet, individu yang dipilih menepati hasrat masyarakat.

“Mengambil CEO CIMB menepati kementerian tempat beliau diletakkan. Mufti Wilayah Persekutuan pula seorang yang sentiasa memberi pendapat bersederhana, tidak ekstrem dan tidak pula tradisional sesuai dengan ‘maslahah’ masyarakat.

“Datuk Seri Dr Adham Baba yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan pula memang seorang doktor berpengalaman. Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin pula bekas pensyarah di University of Tasmania, Australia. Mereka bersih, berintegriti dan kompeten,” jelas beliau kepada Bernama.

Martadha turut mengulas, penampilan muka baharu yang diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai menteri kanan, menteri dan timbalan menteri daripada pelbagai gabungan parti dalam Perikatan Nasional sebagai satu bukti pengiktirafan kepada individu yang berkebolehan.

“Ada yang baru pertama kali dilantik, ada juga yang ‘dinaik taraf’ daripada jawatan mereka sebelum ini. Kita juga dapat lihat penglibatan golongan wanita yang signifikan dengan pelantikan lima wanita sebagai menteri dan sembilan lagi sebagai timbalan menteri,” katanya.

Perdana Menteri untuk semua

Dalam ucapan khas pada 2 Mac lalu, Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa beliau adalah Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum, etnik atau lapisan masyarakat.

Jelas sudah jaminan itu diterjemahkan dalam pembentukan barisan jemaah menteri beliau hari ini.

Usaha Muhyiddin memastikan setiap kaum diwakili dapat dilihat melalui usaha beliau memilih calon dalam kalangan ahli Parlimen dan pelantikan senator.

Dalam hal ini, pensyarah Pusat Pengajian Sain Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, barisan menteri yang dilantik perlu menangani persepsi berkaitan keseimbangan berdasarkan representasi kaum.

Walaupun berpendapat representasi lebih besar untuk kaum seperti Cina dan India akan memberi imej dan imbangan yang lebih baik kepada barisan menteri, Siva berkata, inilah masa untuk membuktikan bahawa ia tidak akan menjejaskan kualiti khidmat yang diberikan kepada rakyat.

“Di peringkat kebangsaan semua menteri yang dilantik mewakili semua rakyat. Pastikan sistem penyampaian khidmat yang dilakukan dapat mendekati semua kelompok masyarakat tidak kira siapa pun yang memegang jawatan atau apa pun latar belakang rakyat yang disantuni,” kata beliau.

Sementara itu bagi Martadha, walaupun representasi bagi kaum Cina dan India tidak besar, namun dari satu aspek ia menampakkan sikap Perdana Menteri yang tetap mahukan wakil dari semua kaum dalam negara ini termasuk dari kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Selesai isu Sabah Sarawak

Penganalisis politik anak jati Sarawak, Profesor Madya Dr Jeniri Amir memberitahu Bernama, pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) khusus untuk menangani isu berkaitan Sabah dan Sarawak adalah satu langkah yang lebih baik daripada kerajaan sebelum ini.

Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili dilantik sebagai menteri untuk portfolio tersebut.

“Ini adalah bukti komitmen, ketulusan dan kesungguhan Perdana Menteri untuk tangani isu yang selama ini menjadi duri dalam daging antara Putrajaya dengan Sabah dan Sarawak terutama berkaitan Perjanjian Malaysia 1963, isu tanah, isu cukai dan peluang pembangunan,” kata beliau.

Jeniri turut mengimbau sejarah dengan berkata, penubuhan kementerian itu adalah kali yang kedua seumpamanya selepas penubuhan Malaysia.

Jawatan Menteri Hal Ehwal Sarawak pernah diwujudkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pada waktu itu, ia disandang Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Anak Barieng yang juga dikenali sebagai Tun Jugah.

“Kini terpulanglah kepada para menteri yang dilantik untuk tangani semua isu secara efektif, tuntas dan muktamad. Ibarat dalam permainan bola sepak, kini bola ada di kaki mereka dan merekalah yang harus menendangnya,” kata Jeniri. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!