Warga emas ditemui terperosok di celah batu

GEORGE TOWN - Seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan lemah selepas dipercayai terjatuh dan terperosok di celah batu, kira-kira 30 meter dari tebing jalan di kawasan Titi Kerawang, Air Itam, petang Jumaat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau, Anas Shadzwan Saad berkata, penemuan lelaki berusia 79 tahun itu susulan laporan dibuat orang awam yang melihat kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan terjunam dari tebing setinggi lima meter.

“Hasil pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan seorang lelaki warga emas dalam keadaan lemah serta terperosok di celah batu, tidak jauh dari lokasi kenderaan itu ditemui.
“Mangsa mengalami calar pada badan dan hanya mampu memberi respon dengan mengangguk kepala apabila dihampiri,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Anas Shadzwan berkata, mangsa kemudiannya dibawa naik menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut di hospital.
Beliau berkata, setakat ini tempoh sebenar mangsa berada di lokasi kejadian belum dapat dipastikan memandangkan mangsa tidak dapat memberi respon sepenuhnya ketika ditemui.
Sebelum kejadian, tular di media sosial rayuan seorang lelaki yang memohon bantuan orang ramai untuk mengesan bapanya, Teh Seng Keat, 79, yang dilaporkan hilang sejak 5.30 petang Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
