Warga emas terlibat kemalangan meninggal dunia ketika terima rawatan di HSA

Balveer Singh
Balveer Singh
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan warga emas yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Persiaran Bukit Kempas di sini pada Jumaat meninggal dunia.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, lelaki berusia 78 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan pada Jam 6.36 petang melibatkan sebuah motosikal jenis Suzuki AN125 yang ditunggang warga emas berkenaan dengan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun.

"Kemalangan dipercayai berlaku pada jam 12.30 tengah hari ketika motosikal ditunggang warga emas berkenaan keluar dari simpang di Jalan Persiaran Bukit Kempas telah dilanggar oleh kereta berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.40 pagi pada Sabtu ketika menerima rawatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan berkenaan diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-7432966 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!