8 maut ditimpa runtuhan batu di kuari batu kapur

Puluhan dikhuatiri hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perlombongan Gunung Kuda, Cirebon, Jawa Barat. Foto hiasan
Puluhan dikhuatiri hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak perlombongan Gunung Kuda, Cirebon, Jawa Barat. Foto hiasan
A
A
A

CIREBON – [DIKEMAS KINI] Sekurang-kurangnya lapan orang maut manakala 12 lagi cedera selepas insiden runtuhan batu berlaku di sebuah kuari batu kapur di Jawa Barat pada Jumaat.

Menurut pihak polis, kejadian berlaku sekitar jam 9.30 pagi (waktu tempatan) di sebuah tapak kuari di bandar Cirebon, apabila batu-batu besar tiba-tiba runtuh dan menimbus pekerja serta jentera berat.

Ketua Polis Cirebon, Sumarni, berkata operasi menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

“Sehingga kini, lapan mayat telah ditemui manakala 12 mangsa cedera telah dihantar ke hospital,” katanya kepada AFP.

Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi, memaklumkan kuari berkenaan beroperasi secara sah, namun piawaian keselamatannya didapati tidak mencukupi.

“Kami mengambil keputusan untuk menutup operasi kuari ini secara kekal, termasuk beberapa tapak lain di sekitarnya,” katanya kepada Metro TV.

Difahamkan, ini merupakan kejadian kedua melibatkan runtuhan di kuari tersebut. Kali pertama berlaku pada Februari lalu, namun tiada kematian dilaporkan.

Insiden kemalangan lombong adalah perkara biasa di Indonesia yang kaya dengan hasil mineral, terutamanya di lokasi perlombongan tidak berlesen yang sering mengabaikan aspek keselamatan.

Pada 2023, lapan pekerja maut selepas terperangkap dalam sebuah lombong emas haram di Jawa Tengah.

Artikel Berkaitan:

Manakala pada Julai tahun lalu, sekurang-kurangnya 23 terbunuh dan 35 hilang dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kampung terpencil berhampiran lombong emas haram di Sulawesi. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!