Sindiket Taiwan proses cecair vape dadah tumpas

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket didalangi warga Taiwan menjadikan kondominium mewah sebagai makmal memproses dadah jenis amphetamine dalam bentuk cecair rokok elektronik (vape) terbongkar dalam serbuan di Brickfields pada Rabu.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak April 2024 itu dipercayai menukar lokasi memproses serta individu terlibat setiap tiga bulan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Serbuan dijalankan kira-kira jam 10.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dijalankan berdasarkan risikan sejak tiga bulan lalu.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, serbuan memberkas dua lelaki warga Taiwan berumur 30 dan 35 tahun dipercayai berperanan sebagai ahli kimia dan penjaga stor.
Beliau berkata, kondominium disewa RM4,100 sebulan berkenaan dijadikan makmal memproses cecair dadah vape berkenaan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.

"Serbuan menemukan sebanyak 20 bekas plastik dan enam botol cecair vape mengandungi dadah amphetamine, 95 kartrij serta pelbagai peralatan pemprosesan seperti mesin pemanas, mesin pengadun, alat penimbang, tiga bikar kaca dan satu corong plastik.
"Jumlah cecair vape dirampas seberat 88.2 liter bersamaan 104 kilogram dengan nilai anggaran pasaran RM3.29 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Jumaat.
Katanya, kedua-dua suspek terbabit dipercayai memasuki negara ini sebanyak dua kali pada tahun ini dan kali terakhir beberapa minggu lalu.
"Semakan dengan pihak berkuasa Taiwan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh, senjata api dan pengedaran dadah.
"Sebuah motosikal jenis Honda milik suspek turut disita dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket termasuk dalang utama yang dipercayai berada di Taiwan," katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket tersebut tidak mempromosi cecair vape menggunakan media sosial sebaliknya menjual kepada pelanggan tetap melalui penghantaran bungkusan menggunakan perkhidmatan kurier.
"Dadah ini dipercayai diedarkan 50 peratus untuk pasaran tempatan dan selebihnya ke luar negara termasuk Taiwan.
"Setiap kartrij dijual sekitar RM180 di pasaran tempatan dan sehingga RM400 bagi pasaran luar negara, sindiket ini dianggarkan memperoleh keuntungan sekitar RM10,000 sebulan," katanya.
Mat Zani berkata, hasil analisis mendapati dadah yang dijadikan cecair vape itu memberi kesan buruk kepada pengguna seperti kerosakan hati, otak, gangguan emosi, ketagihan serta kegagalan pernafasan.
"Polis percaya sindiket ini bekerjasama dengan individu tempatan namun tiada kaitan dengan dadah jenis 'magic mushroom'.
"Cecair ini juga mampu menjejaskan kesihatan kira-kira 441,000 pengguna, terutama golongan remaja," katanya.
Jelasnya, serbuan terbabit merupakan kes pertama melibatkan pembongkaran kegiatan sindiket antarabangsa yang dikesan memproses cecair vape dadah untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
"Kita akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Taiwan untuk membawa semua suspek terlibat ke muka pengadilan.
"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 29 Mei hingga 4 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

