Pemandu e-hailing didakwa rompak kedai emas mahu langsaikan hutang RM70,000

Tertuduh (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat.
Tertuduh (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang terjerat hutang along didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, pada Jumaat atas tuduhan merompak sebuah kedai emas dan mencederakan seorang wanita warga emas minggu lalu.

Tertuduh, Melvin Yen Wei Shern, 31, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan kes untuk fakta dan hukuman pada 10 Jun depan selepas dipohon pihak pendakwaan bagi menyediakan fakta kes.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja mencederakan Koh Kim Lye, 70, di Kedai Emas Tai Kwong, No. 22, Jalan Jawa, Kampung Jawa, di sini, kira-kira jam 11 pagi 22 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Kent Tan Chow Teng tidak membuat sebarang bantahan terhadap nilai jaminan itu.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan kes untuk fakta dan hukuman pada 10 Jun depan.

Difahamkan, suspek terdesak melakukan jenayah itu kerana mahu menyelesaikan hutang yang dipinjam daripada beberapa orang along sehingga mencecah lebih RM70,000.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 22 Mei lalu melaporkan, tindakan nekad seorang lelaki menyamun sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya, di sini, membawa padah apabila dia berjaya ditangkap kira-kira 200 meter dari premis tersebut oleh pekerja sebuah kafe berhampiran.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, suspek berusia 31 tahun turut mencederakan isteri pemilik kedai emas berusia 70 tahun, dipercayai menggunakan tukul besi, sebelum melarikan lima utas rantai emas seberat kira-kira 15.35 gram.

Menurutnya, tindakan suspek gagal apabila dia terjatuh ketika melarikan diri ke arah Jambatan Melaka dan berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!