Remaja didenda RM400 merokok dalam kawasan mahkamah

Mengikut pertuduhan, OKS yang masih di bawah umur didapati melakukan kesalahan apabila merokok di kawasan larangan di premis kerajaan.
Mengikut pertuduhan, OKS yang masih di bawah umur didapati melakukan kesalahan apabila merokok di kawasan larangan di premis kerajaan.
A
A
A

SEREMBAN - Gara-gara merokok di dalam kawasan mahkamah, seorang remaja berusia 18 tahun didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah menjatuhkan hukuman itu selepas orang kena saman (OKS) membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, OKS yang masih di bawah umur didapati melakukan kesalahan apabila merokok di kawasan larangan di premis kerajaan.

Kesalahan itu dilakukan pada 18 November 2024, jam 10.02 pagi di Kompleks Mahkamah Seremban.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 17(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dibaca bersama Perintah Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan atau Tempat Larangan Merokok) 2024, Perenggan 3(9), dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Subseksyen 17(2) akta yang sama.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama seminggu sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dilihat menghisap rokok di dalam kawasan Mahkamah Seremban oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dari Pejabat Kesihatan Daerah Seremban.

Pegawai berkenaan menghampiri remaja tersebut dan menerangkan kesalahan yang dilakukan sebelum remaja terbabit membuang baki putung rokok di tangannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh PPKP Vivig Dinesh Vigane Swaran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!