519 kes denggi, dua kematian di Selangor

SHAH ALAM – Selangor merekodkan sebanyak 519 kes demam denggi dengan dua kematian sepanjang Minggu Epidemiologi (ME) ke-21, iaitu dari 18 hingga 24 Mei lalu.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak dua kes kematian dicatatkan akibat jangkitan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 8.3 peratus berbanding 566 kes yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.
“Secara kumulatif, sebanyak 11,003 kes denggi dilaporkan di negeri ini sehingga ME ke-21, menurun sebanyak 66 peratus berbanding 21,316 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa angka kematian juga menunjukkan penurunan berbanding 11 kes yang direkodkan pada tahun lalu.
“Petaling kekal sebagai daerah tertinggi dengan 178 kes, diikuti Klang (119 kes) dan Hulu Langat (92 kes),” jelas beliau.
Dalam pada itu, Jamaliah memaklumkan bilangan lokaliti wabak aktif juga mencatatkan penurunan kepada 190 lokaliti berbanding 192 pada minggu sebelumnya, manakala jumlah lokaliti hotspot berkurang daripada 14 kepada 13.
“Lokaliti wabak aktif paling banyak masih tertumpu di Petaling dengan 77 lokaliti, diikuti Klang (55) dan Hulu Langat (34),” katanya.
Dari segi pecahan mukim pula, Klang mencatat kes tertinggi dengan 98 kes, diikuti Damansara (69 kes) dan Petaling (66 kes).
Sehubungan itu, kerajaan negeri Selangor menyambut baik trend penurunan yang menunjukkan keberkesanan kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan dan komuniti.
“Namun, orang ramai diingatkan agar terus berwaspada dan memastikan kediaman serta persekitaran bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes, khususnya menjelang musim hujan.
“Kerjasama berterusan semua pihak amat penting untuk mengekalkan trend penurunan kes denggi ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

