IOIPG rekod hasil mampan RM2.17 bilion

IOI City Mall Fasa 2 menerima pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan mempunyai Nett Lettable Area (NLA) seluas 2.54 juta kaki persegi. Gambar kecil : YEOW SENG
IOI City Mall Fasa 2 menerima pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan mempunyai Nett Lettable Area (NLA) seluas 2.54 juta kaki persegi. Gambar kecil : YEOW SENG
A
A
A

SHAH ALAM - IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatatkan peningkatan kecil hasil kepada RM2.17 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025 (9M TK2025).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Yeow Seng berkata, pertumbuhan itu didorong oleh prestasi segmen Pelaburan Hartanah dan Hospitaliti & Riadah yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 56 peratus serta 84 peratus.

Menurutnya, perkara itu sekali gus mengurangkan kelemahan prestasi bagi segmen Pembangunan Hartanah yang menyaksikan penurunan hasil sebanyak 26 peratus.

Katanya, keuntungan sebelum cukai (PBT) pada 9M TK2025 merosot sebanyak 35 peratus kepada RM430.9 juta, berbanding RM658.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu dan ia disebabkan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi berikutan permulaan operasi IOI Central Boulevard Towers.

“Walaupun cabaran dalam persekitaran perniagaan global dan ketidaktentuan perdagangan berterusan, kami kekal yakin bahawa penawaran kepelbagaian produk kami mampu merentasi tiga negara.

“Aliran pendapatan berulang yang besar daripada portfolio pelaburan hartanah kami dan pandangan menggalakkan bagi segmen hospitaliti dan riadah memberikan syarikat asas kukuh untuk pendapatan mampan di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, menurut Yeow Seng, pada 9M TK2025, segmen Pembangunan Hartanah mencapai jualan sebanyak RM1.14 bilion, manakala projek tempatan menyumbang RM1.02 bilion atau 90 peratus daripada jumlah jualan dan projek di negara China serta Singapura menyumbang RM114.5 juta, iaitu 10 peratus daripada jumlah jualan.

Tambah beliau, di Malaysia jualan dipacu di Lembah Klang pada RM641.7 juta dan ia diterajui oleh IOI Resort City di Putrajaya serta Bandar Puteri Puchong, Selangor disebabkan pembangunan bersepadu yang berkembang maju.

Ujarnya, di Johor pula mencatatkan jualan RM367.9 juta disumbangkan oleh perbandaran yang maju di Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama.

Artikel Berkaitan:

“Syarikat baru-baru ini melancarkan kempen '30 Tahun Bersama' kami di Johor selain menawarkan pakej promosi menarik untuk projek yang mengambil bahagian dan peluang untuk memenangi percutian meliputi sehingga 30 destinasi antarabangsa.

“Kempen ini memperingati tiga dekad pertumbuhan yang mampan di wilayah selatan. Syarikat akan terus menyelaraskan penawaran produk yang pelbagai kepada pelabur dan juga pemilik," ujarnya.

Sementara itu, Yeow Seng berkata, segmen Pelaburan Hartanah mengekalkan daya tahannya dan disokong oleh pendapatan berulang yang kukuh daripada aset runcit serta pejabat terutama IOI City Mall yang terus mencatatkan kadar penghunian tinggi.

Menurut Yeow Seng, segmen Hospitaliti & Santai pula telah memulakan inisiatif komprehensif dengan melancarkan kempen ‘Lawati IOI Resort City’ yang menyatukan semua hotel, tarikan riadah dan IOI City Mall dalam bandar utama di IOI Resort City (IRC).

Beliau menjelaskan, kempen dinamik itu bertujuan meningkatkan kesedaran jenama, memacu jejak langkah dan mewujudkan IRC sebagai destinasi pelancongan utama untuk pasaran domestik serta antarabangsa.

Katanya, perkembangan positif segmen Pelaburan Hartanah menekankan kepakaran syarikat dalam menguruskan hartanah pelaburan.

“Bersama-sama dengan usaha berterusan Tourism Malaysia sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, usaha pemasaran yang disasarkan ini dijangka memberi manfaat kepada segmen Hospitaliti & Riadah pada masa hadapan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!