Jalan terus, asal jangan kelirukan rakyat

Penyasaran subsidi RON95 mesti dilakukan secara teliti, adil dan berpaksikan rakyat. Foto hiasan
Penyasaran subsidi RON95 mesti dilakukan secara teliti, adil dan berpaksikan rakyat. Foto hiasan
A
A
A

MESKIpun terdapat desakan pelbagai pihak agar ia ditangguhkan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 tetap akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jelas, kerajaan tidak akan membuat pusingan U dan apa yang dibentang pada Belanjawan 2025 akan direalisasikan, atau bahasa mudahnya ‘jalan terus!’

Perbincangan masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.

Malah, Kementerian Kewangan sedang mengetatkan lagi sistem penggunaan apabila penyasaran subsidi itu dilaksanakan kelak agar tiada rakyat Malaysia yang layak teraniaya.

Selain meningkatkan tahap kelayakan penerimaan subsidi, perkara utama diambil perhatian kerajaan ialah mekanisme bakal digunakan iaitu penggunaan kad pengenalan. Ia selepas mengambil kira keberkesanan penggunaan MyKad dalam skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Namun, perkara paling dibimbangkan apabila dilaksanakan kelak ialah kemungkinan berlaku kekeliruan sehingga menyusahkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Penyasaran subsidi RON95 mesti dilakukan secara teliti, adil dan berpaksikan rakyat. Dengan komunikasi jelas dan sistem mesra pengguna, matlamat reformasi fiskal itu mampu dicapai tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Antara cadangan boleh diambil perhatian ialah memastikan pelaksanaan dilakukan secara berperingkat dan jelas. Perlu ada kempen penerangan menyeluruh melalui pelbagai saluran di televisyen, media sosial, laman web rasmi dan pusat komuniti bagi menerangkan siapa yang layak, bagaimana subsidi diberikan dan cara guna di stesen minyak.

Selain itu, perlu ada saluran pertanyaan atau rayuan yang mudah diakses bagi individu tercicir daripada senarai penerima subsidi terutama mereka dengan pendapatan berubah-ubah.

Artikel Berkaitan:

Dari segi teknikal, penggunaan MyKad sebagai pengesahan subsidi mesti diuji sepenuhnya agar sistem berfungsi dengan lancar. Sebarang kelewatan atau kegagalan sistem di pam minyak akan menimbulkan kemarahan.

Ada juga saranan agar kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar secara tunai atau e-dompet supaya mereka yang layak mempunyai pilihan untuk mengurus perbelanjaan harian dengan lebih fleksibel.

Bagaimanapun, perkara paling penting ialah kerajaan perlu memastikan tiada kenaikan mendadak harga RON95 untuk golongan tidak layak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!