Lelaki ditahan bersama rokok tidak bercukai lebih RM2 juta

BUTTERWORTH - Seorang lelaki ditahan bersama 6,100 karton rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM 2 juta yang disyaki tidak mempunyai cukai Kastam di sini pada Rabu.
Komander Bridged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, suspek yang memandu sebuah lori ditahan pasukan Cawangan Risik Batalion 2 PGA Kulim di Kilometer 139.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar persimpangan Jambatan Pulau Pinang.
Menurutnya, siasatan mendapati bekalan rokok itu dibawa dari sebelah selatan tanah air untuk diedarkan bagi pasaran utara.
"Pihak Cawangan Risik Batalion 2 PGA telah berjaya mengesan pergerakan aktiviti dan modus operandi yang digunakan dalam membawa muatan rokok sebelum diedarkan kepada pihak peniaga sejak sebulan lalu.
"Kita percaya dengan tertangkap suspek terbabit telah berjaya mematahkan satu lagi aktiviti sindiket pengedaran rokok yang mengaut keuntungan dengan tidak membayar cukai kepada pihak kerajaan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Rabu.
Shahrum berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(v)(aa) akta sama.
Katanya, sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau berkata, Briged Utara Pasukan Gerakan Am sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
