Tiga kilang gaji PATI diserbu, 28 ditahan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiga kilang disyaki menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Mahir di sekitar Jalan Kuchai Lama dan Jalan Chan Sow Lin di sini pada Rabu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 352 individu diperiksa melibatkan 283 lelaki serta 69 wanita.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati seramai 26 warga asing disyaki bekerja secara haram ditahan membabitkan warganegara Bangladesh, Nepal, India, Myanmar dan Nigeria.
"Dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai majikan turut ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1963," katanya selepas tiga operasi dijalankan pada Rabu.
Kata beliau, sebanyak empat borang Imigresen 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan dilakukan.
Tambahnya, kesemua yang ditahan berusia 28 hingga 50 tahun telah dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
