Dr. Zulkifilie Ibrahim, TNC Penyelidikan & Inovasi baharu UTeM

DR. ZULKIFILIE IBRAHIM
DR. ZULKIFILIE IBRAHIM
A
A
A

PROFESOR Dr. Zulkifilie Ibrahim telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (P&I) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa dari 15 November 2018 sehingga 14 November 2021 menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pelantikan ini menggantikan mantan Timbalan Naib Canselor (P&I) terdahulu iaitu Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Mohd Jailani Mohd Nor yang telah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary pada suku kedua tahun ini.

Dari perspektif akademik, Dr Zulkifilie memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian pada 1989 dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan perjalanan akademik beliau diteruskan dengan jayanya di kemuncak apabila beliau telah berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah di Liverpool John Moores University, United Kingdom dalam bidang Power Electronics and Driver pada 1999.

Beliau memulakan kerjaya di UTeM pada 2007 sebagai Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah) di Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UTeM manakala bagi 2008 hingga 2009 pula beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan (Akademik) seterusnya beliau memegang tampuk kepimpinan FKE sebagai Dekan dari 2010 hingga 2014.

Berdasarkan reputasi dan kecemerlangan, beliau seterusnya diberikan kepercayaan bagi memacu pentadbiran sebagai Dekan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) UTeM pada 2016 sehinggalah ke tarikh sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (P&I) UTeM.

Kepimpinan beliau sebagai Dekan PPS UTeM terus memberikan impak dalam menerajui serta memajukan PPS sebagai Pusat Pengajian yang maju dan berdaya saing dalam konteks pembangunan pengajian siswazah yang merangkumi pelbagai cabang pengajian seperti kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengurusan teknologi.

Kejayaan beliau turut terukir cemerlang dalam konteks penyelidikan dan inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa apabila beliau telah meraih dan menjayakan beberapa geran berprofil tinggi berimpak global dari Kementerian Pendidikan Tinggi (kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Malaysia).

Sementara itu kepakaran penyelidikan dan inovasi beliau turut dizahirkan menerusi beberapa produk rekaan dan kajian beliau apabila berjaya menempa kejayaan cemerlang dalam beberapa siri pertandingan penyelidikan dan inovasi di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa yang membuahkan kejayaan kepada beliau mengharumkan nama UTeM dengan membawa pulang pingat emas, perak serta anugerah khas berprestij.

Di samping itu beliau turut berjaya mengkomersialkan produk hasil rekaan beliau seperti e-Jari Biometrics Access System kepada SIRIM Berhad dengan nilai RM850,000 bagi kegunaan SIRIM serta sebuah produk beliau lagi adalah Fuel Saver e Fast bagi tujuan kegunaan ramai dalam usaha penjimatan petrol dan peningkatan prestasi enjin kenderaan.

Artikel Berkaitan: