Sambutan luar biasa, Konsert Kasih Kekasih Inteam berpindah ke lokasi baharu

(Dari kiri) Anggota kumpulan nasyid Inteam Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid dan Abdul Rahim Osman bergambar selepas sidang media mengenai Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun yang bakal berlangsung di IdeaLive Petaling Jaya pada 28 September ini. Foto Bernama
(Dari kiri) Anggota kumpulan nasyid Inteam Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid dan Abdul Rahim Osman bergambar selepas sidang media mengenai Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun yang bakal berlangsung di IdeaLive Petaling Jaya pada 28 September ini. Foto Bernama
A
A
A

SAMBUTAN luar biasa peminat memaksa Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun oleh kumpulan nasyid terkenal, Inteam, dipindahkan ke lokasi lebih besar, selepas tiket untuk tarikh asal pada 27 September depan habis terjual dalam tempoh dua jam selepas dilancarkan.

Konsert itu akan diadakan di IdeaLive, Petaling Jaya pada 28 September yang mampu memuatkan 5,000 penonton sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai peminat hadir menyaksikan persembahan yang dinanti-nantikan itu.

Vokalis kumpulan itu, Mohd Syahril Abdul Khalid berkata, keputusan memindahkan konsert dari lokasi asal di Zepp Kuala Lumpur dibuat selepas melihat maklum balas peminat apabila tiket untuk lebih 1,000 penonton habis dijual dalam tempoh terlalu singkat.

"Kami tidak menyangka sambutan sebegitu hebat kerana pada awalnya kami hanya menyasarkan lebih 1,000 penonton sahaja. Tidak sangka konsert ini boleh tular sebegini sekali.

"Banyak peminat mencadangkan agar kami menambah malam kedua atau memilih lokasi yang lebih besar. Selepas berbincang dan menyemak jadual kami, kami mengambil keputusan untuk berpindah ke IdeaLive,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Selain Mohd Syahril, kumpulan itu turut dianggotai Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman.

Menurutnya, pembeli tiket terdahulu tidak perlu bimbang kerana mereka akan diberikan tempat duduk istimewa dan sedikit ke depan mengikut zon masing-masing.

"Pihak urusetia akan menghubungi pembeli tiket bagi pengesahan tempat duduk serta pemakluman pertukaran tarikh konsert. Sebagai penghargaan, pembeli terawal akan menerima hadiah istimewa daripada Aplikasi Khair,” katanya, menambah tiket baharu akan mula dijual pada 14 Jun depan (Sabtu) menerusi platform Ticket Empire yang boleh diakses melalui laman rasmi konsert di www.kasihkekasih.com.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, konsert yang mengangkat tema Cinta Ilahi, Sayang Nabi dan Kasih Insani itu akan menampilkan lebih 25 buah lagu dan medley nostalgia, termasuk penampilan istimewa dua anak lelaki Allahyarham Suhaimi Saad serta beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan.

Sejak ditubuhkan pada 2000, kumpulan ini telah mengukir nama di pentas antarabangsa, termasuk membuat persembahan di Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Yaman, Mesir, Abu Dhabi, China dan Australia.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit Media Konsert Kasih Kekasih melalui emel di info@kasihkekasih.com, WhatsApp 017-6681885 atau layari www.kasihkekasih.com. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!