Faktor lokasi, kurang sambutan antara punca 72 unit MyKiosk masih kosong - Exco

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 72 daripada 362 unit MyKiosk yang dibangunkan di Terengganu masih tiada penyewa disebabkan beberapa faktor termasuk kurang sambutan kerana berada di lokasi yang tidak strategik serta spesifikasi kemudahan yang tidak memenuhi keperluan peniaga.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemantauan dan perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dilaksanakan bagi mengenal pasti lokasi baharu yang lebih berpotensi selaras dengan matlamat asal program MyKiosk untuk menggalakkan pembangunan usahawan mikro.
“Sebanyak 72 unit MyKiosk yang masih kosong itu kini dalam tindakan termasuk proses pengiklanan dan kelulusan mesyuarat.
“Kita akan mengambil langkah susulan termasuk mengalihkan lokasi MyKiosk yang didapati tidak strategik bagi memastikan inisiatif tersebut memberi manfaat sepenuhnya kepada golongan peniaga kecil,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Jelas beliau, terdapat juga beberapa faktor lain yang dikenal pasti sebagai punca kemudahan itu kurang mendapat sambutan penyewa sehingga menyebabkan ia ditarik balik dan diserahkan semula kepada PBT.
“Buat masa ini, kerajaan negeri melalui PBT sedang meneliti setiap aduan dan mengenal pasti punca mengapa unit-unit tersebut tidak digunakan.
“Ada aduan diterima mengenai kekangan syarat yang tidak membenarkan penggunaan bahan api untuk memasak, tiada bekalan air dan elektrik, serta struktur kiosk yang cepat berkarat dan mudah bocor, yang menjejaskan operasi dan minat penyewa,” ujarnya.
Program MyKiosk merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menyasarkan membantu lebih 7,000 keluarga meningkatkan pendapatan.
Jelas Wan Sukairi, pelaksanaan projek MyKiosk yang bertujuan menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan kecil di kawasan PBT itu perlu diselaras semula agar tidak tersasar daripada objektif asal.
“Setiap PBT perlu meneliti setiap aspek dan mengenal pasti lokasi pemasangan MyKiosk berdasarkan keperluan kawasan masing-masing,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
