Alami gangguan mental, nasib Asmawi dapat perhatian kerajaan Terengganu, PHT

KEMAMAN - Nasib bekas pemain skuad hoki remaja kebangsaan yang mengalami gangguan mental mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris dan Persatuan Hoki Terengganu (PHT).
Menurut Razali, Mohamad Asmawi Zaidi, 36, pernah mengharumkan nama negara dan tidak wajar dibiarkan terabai selepas bersara daripada arena sukan.
"Usaha membantu bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi satu bentuk penghargaan terhadap jasa dan pengorbanannya sebelum ini," katanya selepas menziarahi keluarga itu di Kampung Pondok Pasir, Ibok, di sini pada Isnin.
Hadir sama pada pertemuan itu, Penaung PHT, Ir Saiful Azmi Suhaili; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman, Mohd Fadzli Ismail; kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Razali berkata, pertemuan bersama PHT dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu turut merangka pelbagai bentuk bantuan dan sokongan secara jangka pendek dan panjang bagi menjamin kebajikan bekas atlet tersebut.

"PHT bersama JKM dan beberapa agensi lain juga sedang giat merangka pelan bantuan susulan termasuk membawa Asmawi mendapatkan rawatan sewajarnya.
"Kita juga berharap agar segala urusan Asmawi dan keluarganya dipermudahkan serta dikurniakan kesembuhan dan ketenangan buatnya," katanya.
Sebelum ini, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyatakan komitmen membantu dari segi sokongan kesihatan, kaunseling dan bantuan sara hidup terhadap wira sukan itu.
Untuk rekod, Asmawi pernah menyarung jersi Malaysia Bawah 16 Tahun dalam kejohanan di Jerman, India dan Pakistan serta mewakili Terengganu dalam Sukan Malaysia (SUKMA).
Difahamkan Asmawi mengalami masalah kesihatan mental yang serius sejak beberapa tahun lalu, dipercayai berpunca daripada tekanan hidup, pemutusan kontrak dengan kelab pada 2018 serta faktor kemurungan.
Awal Mei lalu, tular video memaparkan Asmawi dalam keadaan tidak terurus, berkaki ayam dan meracau di sekitar Taman Kerang, Kuantan mengundang simpati pelbagai pihak selepas dia dikenal pasti sebagai bekas atlet kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
