Geng samun menyamar anggota polis ditahan

SEPANG - Menyamar kononnya sebagai polis, empat individu terlibat dalam lima siri kes samun di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur berjaya diberkas pada Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek lelaki berusia 33 hingga 38 tahun ditahan menerusi operasi khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, suspek terbabit dalam beberapa kes samun di Dengkil, Bukit Puchong dan Bukit Raja, Klang serta Kajang, Selangor.
Kata beliau, kumpulan sama juga terlibat dalam kes samun di Semenyih, Selangor apabila video pecah rumah itu tular di media sosial pada awal bulan ini.
"Dalam kejadian pada 4 Mei itu, lima lelaki telah menyamar sebagai anggota polis bagi menyamun seorang pesara berusia 55 tahun bersama tiga ahli keluarganya di sebuah rumah di Semenyih.
"Berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV), suspek memakai pelitup muka dan memakai 'vest' polis telah memecah masuk rumah mangsa dan melarikan barang kemas, dua buah telefon bimbit dan wang tunai lebih kurang RM500," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Dalam tangkapan itu, katanya, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi, tiga buah telefon bimbit serta pakaian dipercayai digunakan dalam kejadian samun tersebut.
Menurutnya, kesemua suspek telah direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan, manakala seorang daripada suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad.
Hussein berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesan seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas, sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut.
Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dan jika bersalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis.
"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Tambahnya, pihak polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan jenayah samun menggunakan modus operandi menyamar sebagai anggota polis.
Menurutnya lagi, suspek melakukan jenayah itu juga memperdaya mangsa dengan memakai 'vest' polis bagi membuat sebarang pemeriksaan di mana-mana lokasi.
Untuk itu katanya, orang ramai diminta untuk menyalur atau melaporkan kejadian seumpama itu di balai polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
