'Kantoi' curi kabel naik Honda Jazz

NILAI - Tiga lelaki sedang mencuri kabel di Jalan Nilai Perdana 1 di sini 'kantoi' apabila kegiatan mereka dikesan polis yang melakukan rondaan pada jam 3 pagi Khamis.
Kesemua suspek telah ditahan selepas didapati sedang bersembunyi di dalam kereta jenis Honda Jazz di lokasi manakala seorang lagi menyorok di dalam kawasan semak.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai yang sedang melakukan rondaan telah ke lokasi sebaik menerima maklumat ada kejadian mencuri kabel.
"URB telah menerima maklumat daripada Bilik Gerakan IPD Nilai yang memaklumkan terdapat kejadian syaki curi kabel di lokasi.
"Sebaik tiba di lokasi, terdapat sebuah kereta dan pemeriksaan mendapati ada dua lelaki tempatan sedang bersembunyi di dalamnya manakala seorang lagi di kawasan semak," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, kesemua suspek berusia lingkungan 30-an hingga 40-an telah ditahan dan pemeriksaan mendapati mereka mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan narkotik.
Tambahnya, polis turut merampas satu gulung kabel berwarna hitam, dua alat pemotong kabel, satu batang besi, satu bilah sabit, satu buah motokar dan satu rangkai kunci.
"Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
"Kes disiasat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan dan seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Abdul Malik berkata, kesemua suspek direman empat hari bermula pada Khamis sehingga 2 Februari ini selepas permohonan reman dibuat di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Seremban.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7904222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

