Pakej 3 LRA Langat 2 cipta rekod MBOR, guna sistem paip penghantar

Jaseni (tiga dari kiri), Zulkiflee (dua dari kiri), Jamiluddin Amini (kanan) bergambar selepas gimik perasmian dalam Majlis Penyampaian Anugerah MBOR kepada Pakej 3, LRA Langat 2, di sini pada Selasa.
Jaseni (tiga dari kiri), Zulkiflee (dua dari kiri), Jamiluddin Amini (kanan) bergambar selepas gimik perasmian dalam Majlis Penyampaian Anugerah MBOR kepada Pakej 3, LRA Langat 2, di sini pada Selasa.
A
A
A

KAJANG - Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menerima tiga pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi sektor kejuruteraan dan kelestarian industri perkhidmatan air untuk Pakej 3 Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang menjadikan negara sebagai peneraju pembangunan infrastruktur air mampan di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PAAB, Ir Zulkiflee Omar berkata, pengiktirafan itu diberikan berikutan kejayaan memperkenalkan ciri utama dalam Pakej 3 iaitu sistem paip penghantar pertama di negara untuk pemindahan sisa air yang inovatif dan mesra alam.

Beliau berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM210 juta itu turut menggunakan sistem paip penghantar serta skru ‘shaffless’ terpanjang di Malaysia iaitu masing-masing sepanjang 1.918 kilometer (km) dan 46 meter (m).

“Pengiktirafan ini bukan sahaja membuktikan kecekapan kejuruteraan tempatan tetapi mencerminkan usaha negara terhadap pembangunan infrastruktur yang mampan serta berdaya tahan serta berakar dalam prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Dengan kapasiti rawatan sebanyak 1,130 juta liter sehari, LRA Langat 2 merupakan salah satu kemudahan infrastruktur terbesar di Malaysia yang mampu menjana sehingga 400 tan sisa air bergantung kepada kualiti air mentah yang disalurkan dari Empangan Kelau, Pahang.

“Ia melalui terowong aliran graviti sejauh 45km yang menyalurkan kira-kira 1.89 bilion liter air mentah setiap hari ke LRA Langat 2 di Selangor,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyampaian Anugerah MBOR kepada Pakej 3, LRA Langat 2, di sini pada Selasa.

Jaseni (lima dari kanan), Zulkiflee (tujuh dari kanan) dan Jamiluddin Amini (empat dari kanan) bergambar bersama sistem paip penghantar selepas Majlis Penyampaian Anugerah MBOR kepada Pakej 3, LRA Langat 2, di sini pada Selasa.
Jaseni (lima dari kanan), Zulkiflee (tujuh dari kanan) dan Jamiluddin Amini (empat dari kanan) bergambar bersama sistem paip penghantar selepas Majlis Penyampaian Anugerah MBOR kepada Pakej 3, LRA Langat 2, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi PAAB, Datuk Seri Jaseni Maidinsa; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ir Abdul Kadir Mohd Din; Timbalan Pengerusi Eksekutif Salcon Engineering Berhad, Tan Sri Datuk Tee Tiam Lee; CEO Salcon Engineering Berhad, Jamiluddin Amini Sulaiman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Nazli Md Taib serta wakil MBOR, Edwin Yeoh.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, PAAB ditubuhkan pada Mei 2006 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 memainkan peranan utama dalam merealisasikan Pelan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara dengan memberikan penyelesaian pembiayaan paling ekonomik untuk pembangunan aset air di Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, sistem paip penghantar tersebut dapat menggantikan keperluan lebih 35,000 perjalanan lori dalam setahun yang secara tidak langsung mengurangkan pelepasan karbon, pencemaran udara serta kebergantungan terhadap bahan api fosil.

“Direka bentuk dengan mengambil kira fungsi, sistem ini bukan sahaja menambah baik kecekapan operasi, malah meminimumkan impak terhadap kesesakan jalan raya, kehausan infrastruktur, dan kesihatan awam.

“Dengan panjang 1.918 km, sistem ini menghubungkan loji ke tapak pelupusan khas berhampiran kolam takungan Bukit Enggang, Bandar Mahkota, Cheras.

“Laluan yang melalui pelbagai cabaran geografi termasuk tanah liat, bukit granit, lebuh raya aktif dan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), menjadikan ia sebagai satu pencapaian teknikal mengagumkan,” ujarnya.

Tambah Zulkiflee, projek itu menandakan penyiapan Pakej 3 dalam keseluruhan pembangunan LRA Langat 2 yang merangkumi 26 pakej di sekitar Lembah Klang termasuk Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Dengkil, Ampang dan Keramat AU3.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!