ASEAN tolak sebarang bentuk penjajahan, gesa penyelesaian segera di Gaza - Anwar

ANWAR
ANWAR
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] ASEAN sekali lagi menyatakan pendirian tegas menentang sebarang bentuk penjajahan terhadap mana-mana negara termasuk melibatkan kekejaman terhadap rakyat Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN menegaskan, ASEAN mengharapkan penyelesaian muktamad terhadap nasib yang menimpa Palestin susulan tindakan zalim rejim Zionis.

Katanya lagi, Malaysia dan ASEAN menyokong penyelesaian dua negara sebagai jalan ke arah keamanan yang berkekalan di Asia Barat.

"Oleh itu, saya menolak penjajahan ke atas mana-mana negara. Kita dibesarkan untuk menghormati maruah dan aspirasi manusia.

"Maka, kami (ASEAN) berharap resolusi ini membawa kepada pengakhiran terhadap kekejaman berdekad-dekad yang dilakukan oleh Israel, gencatan senjata serta-merta dan pengiktirafan terhadap penyelesaian dua negara.

"Penyelesaian ini juga dikongsi oleh banyak negara dalam ASEAN sebagai langkah ke arah menamatkan keganasan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Acara diplomatik bersejarah ini menghimpunkan pemimpin dari negara-negara ASEAN, dan GCC yang terdiri daripada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, Bahrain, dan Oman.

Anwar menambah isu Palestin, khususnya penderitaan di Gaza, amat menyayat hati dan menjadi keprihatinan utama Malaysia dan negara anggota ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menegaskan bahawa penderitaan rakyat Palestin tidak boleh dilupakan dan komuniti antarabangsa perlu bersama ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!