Pengurus resort rugi RM68,761 terperdaya sindiket 'phone scam'

Seorang pengurus resort di Pulau Redang kerugian RM68,761 selepas diperdaya sindiket 'phone scam' menyamar sebagai wakil Touch 'n Go.
Seorang pengurus resort di Pulau Redang kerugian RM68,761 selepas diperdaya sindiket 'phone scam' menyamar sebagai wakil Touch 'n Go.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang pengurus resort di Pulau Redang kerugian lebih RM68,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai wakil Touch 'n Go.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 48 tahun tampil membuat laporan polis pada Isnin.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 10 malam, 22 Mei lalu ketika mangsa berada di tempat kerja sebelum menerima panggilan kononnya daripada pihak Touch 'n Go yang mendakwa kad visa miliknya telah tamat tempoh dan perlu dikemas kini.

"Mangsa kemudian menerima satu pautan dan tanpa menyedari helah sindiket, beliau menekan pautan tersebut serta diarahkan mengisi maklumat perbankan miliknya," katanya di sini pada Selasa.

Tambah Azli, sejurus selepas itu berlaku 44 transaksi pindahan dan pembayaran wang yang tidak diketahui, melibatkan jumlah sebanyak RM53,872.

"Mangsa turut diarahkan memberikan maklumat tiga akaun bank milik adik dan ibunya serta akaun bersama, sebelum 11 lagi transaksi dilakukan, membabitkan kerugian tambahan RM14,889.

"Suspek turut mengatakan bahawa akaun bank mangsa telah disekat dan mangsa perlu menggunakan akaun bank yang lain jika mahu mendapatkan semula wang miliknya. Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa dianggarkan sebanyak RM68,761," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mula berasa curiga apabila terus diminta memberikan lebih banyak maklumat akhirnya bertindak menghubungi pihak bank dan dimaklumkan bahawa beliau telah ditipu oleh sindiket scammer.

Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak yang meragukan serta sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan yang menggunakan nama institusi kewangan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!