Persempadanan Selangor, Wilayah Persekutuan melibatkan Putrajaya dimuktamad tahun ini

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM – Proses persempadanan antara Selangor dan Wilayah Persekutuan yang melibatkan Putrajaya dijangka dapat dimuktamadkan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebahagian besar proses melibatkan Putrajaya hampir lengkap.

“Setakat ini, proses persempadanan di Putrajaya telah selesai sepenuhnya, termasuk di kawasan seperti Sepang dan Kuala Langat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada Selasa.

Amirudin memaklumkan bahawa kerja-kerja pengukuran sempadan telah dilaksanakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dengan kerjasama agensi berkaitan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa kawasan lain yang melibatkan Kuala Lumpur seperti Ampang, Petaling Jaya dan Subang masih dalam proses penyelesaian.

“(Kawasan terbabit) dijangka mengambil masa lebih lama berikutan kerumitan sempadan dan pembangunan yang padat.

“Persempadanan di kawasan tersebut memerlukan penelitian lebih mendalam sebelum dimuktamadkan, tetapi kita optimis ia dapat diselesaikan secara keseluruhan,” ujarnya.

Pada 21 Februari lalu, Amirudin memaklumkan bahawa JUPEM telah menyelesaikan fasa pengukuran dan pemetaan sempadan antara Selangor dan Kuala Lumpur sejauh 103.7 kilometer (km) pada penghujung Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberitahu bahawa berdasarkan proses pengukuran dan pemetaan tersebut, secara keseluruhan kira-kira 86 lembar peta dengan keluasan 103.7 km telah direkodkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!